Q1 2026 dijangka seiring atau lebih baik daripada unjuran awal 5.3%

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR, 14 Mei -Pertumbuhan ekonomi negara bagi suku pertama 2026 dijangka mampu mencapai anggaran awal sebanyak 5.3 peratus, malah berkemungkinan mencatat prestasi lebih baik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Data DOSM awal menunjukkan beberapa kesenjangan masih diperhalusi sebelum pengumuman data terkini.
  • Anggaran sebelum ini dianggap konservatif dan mungkin dinaikkan selepas penilaian data lengkap.
  • Suku keempat 2025 merekod pertumbuhan kukuh disokong permintaan domestik, pemulihan perkhidmatan, pembuatan dan eksport.
  • Ruang fiskal tertekan akibat krisis berlarutan; kerajaan melaksanakan pendekatan seimbang untuk melindungi rakyat dan memantau daya tahan ekonomi.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, unjuran tersebut berdasarkan data awal pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bulan lalu, namun masih terdapat beberapa kesenjangan data yang sedang diperhalusi.

“Dari segi unjuran atau anggaran yang sebelum ini dikongsikan melalui DOSM, masih terdapat beberapa perkara yang belum dapat diputuskan kerana wujud sedikit kesenjangan data.

”Jadi apabila data terkini diumumkan esok, jangkaan saya ialah anggaran sebelum ini agak konservatif,” katanya selepas pelancaran laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) ke-32 terbitan Bank Dunia yang bertemakan “Menaikkan Siling, Memperkukuh Lantai: Agenda Pekerjaan sebagai Agenda Produktiviti” di sini.

Pada suku keempat 2025, negara merekodkan pertumbuhan KDNK yang kukuh pada 6.3 peratus, disokong oleh permintaan domestik, pemulihan sektor perkhidmatan serta momentum industri pembuatan dan eksport.

Sementara itu, mengulas kedudukan fiskal negara, beliau berkata tempoh krisis yang berlarutan telah memberi tekanan kepada ruang fiskal sedia ada.

Jelasnya, kerajaan berusaha melaksanakan pendekatan yang seimbang agar rakyat terus dilindungi selain terus memantau rapat perkembangan ekonomi semasa bagi menilai keupayaan daya tahan negara.