Pertemuan AS-China, pasaran global pantau hala tuju ekonomi

Presiden China Xi Jinping (kiri) dan Presiden AS Donald Trump ketika menghadiri jamuan negara di Dewan Besar Rakyat di Beijing/Foto AFP

LONDON, 14 Mei – Pasaran saham Eropah dan Asia ditutup bercampur-campur pada Khamis ketika pelabur memantau perkembangan rundingan berprofil tinggi antara Amerika Syarikat (AS) dan China, selain sentimen positif berterusan terhadap sektor kecerdasan buatan (AI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertemuan Trump-Xi di Beijing dianggap positif, namun rundingan awal belum menghasilkan keputusan konkrit; lawatan White House dicadangkan pada September.
  • Minat pelabur terhadap AI kekal tinggi; eksekutif teknologi terkemuka hadir bersama Trump, dan syarikat seperti Foxconn catat kenaikan keuntungan.
  • Ketegangan geopolitik, termasuk gangguan penghantaran melalui Selat Hormuz, menambah ketidaktentuan tenaga dan mempengaruhi prospek ekonomi global.

Presiden AS Donald Trump dan rakan sejawat China Xi Jinping mengadakan pertemuan di Beijing dalam sidang kemuncak yang diberi perhatian global, melibatkan isu strategik termasuk Taiwan.

Namun, fasa awal rundingan itu dilihat belum menghasilkan sebarang keputusan konkrit.

Selepas dagangan hambar di Asia, pasaran Eropah kembali mengukuh menjelang tengah hari.

Indeks saham di London meningkat 0.3 peratus selepas data menunjukkan ekonomi United Kingdom memulakan tahun ini dengan prestasi memberangsangkan, meskipun prospek global masih dibayangi konflik Asia Barat dan ketidaktentuan politik antarabangsa.

Pasaran Frankfurt pula naik lebih satu peratus manakala Paris meningkat 0.6 peratus, dipacu kenaikan saham sektor teknologi.

“Indeks UK telah dibebani oleh kekurangan teknologi, yang memacu kenaikan pasaran saham global,” kata Kathleen Brooks, pengarah penyelidikan di kumpulan perdagangan XTB.

Minat pelabur terhadap AI sebelum ini membantu mendorong indeks Nasdaq Composite dan S&P 500 ke paras tertinggi baharu di Wall Street.

“Politik dan penentukuran semula jangkaan kadar faedah kedua-duanya gagal melemahkan suasana pasaran. Persoalannya sekarang, berapa lama ia boleh bertahan?” kata Brooks.

Rundingan di Beijing berlangsung ketika konflik di Asia Barat terus mengganggu penghantaran minyak melalui Selat Hormuz dan meningkatkan harga tenaga dunia.

Harga minyak mentah penanda aras Brent dilaporkan berlegar sekitar AS$106 setong pada Khamis ketika laluan strategik itu masih berdepan gangguan penghantaran.

Trump menyifatkan rundingan bersama Xi sebagai “sangat positif dan produktif”, selain mengundang pemimpin China itu mengadakan lawatan ke White House pada September depan.

Turut mengiringi Trump ialah beberapa tokoh korporat utama AS termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook serta Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk.

“Pintu China ke dunia luar akan terbuka lebih luas… Syarikat-syarikat Amerika akan menikmati prospek yang lebih cerah di China,” kata Xi kepada eksekutif perniagaan, menurut media kerajaan China.

Penganalisis melihat kehadiran pemimpin syarikat teknologi utama itu sebagai gambaran hubungan ekonomi mendalam antara Washington dan Beijing meskipun ketegangan geopolitik terus berlarutan.

Di Asia, indeks Shanghai dan Tokyo ditutup rendah manakala Hong Kong kekal mendatar.

Sementara itu, syarikat teknologi Taiwan, Foxconn melaporkan keuntungan bersih suku tahunan meningkat 19 peratus, didorong permintaan tinggi terhadap pelayan AI dan menjangkakan pertumbuhan kukuh penghantaran tahun ini.

Dalam perkembangan lain, pengeluar automotif Jepun, Honda mencatat kerugian operasi AS$2.6 bilion, yang pertama sejak 1957, susulan rombakan strategi kenderaan elektriknya di Amerika Syarikat.

Di London pula, saham jenama fesyen mewah Burberry susut enam peratus selepas syarikat itu memberi amaran mengenai ketidaktentuan ekonomi global walaupun kembali mencatat keuntungan bagi tahun kewangan terbaharu.-AFP