
KOTA SAMARAHAN, 14 Mei -Seorang pesara guru di Kota Samarahan mengalami kerugian RM350,000 akibat terjerat dengan pelaburan tidak wujud.
- Wanita 71 tahun diperdaya oleh iklan pelaburan di laman sosial sejak Mac.
- Memulakan pelaburan dengan dua pemindahan wang berjumlah RM21,000 pada awal bulan lalu.
- Kemudian memindahkan RM329,987.53 pada penghujung bulan lalu.
- Menyedari penipuan selepas hanya menerima keuntungan RM1,000; membuat laporan polis, kes disiasat di bawah Seksyen 420.
Warga emas wanita berusia 71 tahun itu mula terpedaya dengan iklan pelaburan berkenaan di laman sosial sejak Mac lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Barry William berkata, mangsa memulakan pelaburan secara dalam talian dengan dua transaksi pemindahan wang berjumlah RM21,000 pada awal bulan lepas.
“Mangsa sekali lagi melakukan pemindahan wang secara dalam talian berjumlah RM329,987.53 sen pada penghujung bulan lepas.
“Wanita tersebut menyedari telah ditipu selepas hanya menerima keuntungan sebanyak RM1,000 daripada pelaburan yang telah dibuat,” katanya dalam satu kenyataan.
Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.