PUSPANITA salur sumbangan perkukuh kemudahan kesihatan dan kebajikan di Perlis

Program Langkah Kasih berlangsung selama tiga hari di Perlis

KANGAR, 13 Mei – Usaha Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Kebangsaan dalam menyantuni masyarakat, terus diperkukuh menerusi Program Langkah Kasih yang berlangsung selama tiga hari di Perlis sejak Isnin lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kunjungan ke Klinik Desa Bintong untuk menyampaikan sumbangan meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan kesihatan.
  • Sumbangan termasuk komputer riba, katil pemeriksaan, katil bayi, sofa dan kerusi untuk kegunaan kakitangan.
  • Inisiatif diharap melancarkan urusan petugas kesihatan serta meningkatkan keselesaan pesakit.
  • Lawatan ke Rumah Kanak-Kanak Arau serta Program Langkah Kasih memupuk nilai kemanusiaan, keprihatinan dan kebersamaan.

Program tersebut turut melibatkan kunjungan ke Klinik Desa Bintong bagi menyampaikan pelbagai sumbangan sebagai usaha mempertingkat kemudahan serta memperkukuh perkhidmatan kesihatan di kawasan berkenaan.

Yang Dipertua PUSPANITA, Puan Sri Maheran Jamil berkata inisiatif berkenaan diharap dapat membantu melancarkan urusan petugas kesihatan selain meningkatkan keselesaan pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik tersebut.

“Hari ini saya turut menyampaikan sumbangan kepada klinik antaranya komputer riba, katil pemeriksaan, katil bayi, sofa serta kerusi untuk kegunaan kakitangan.
Saya percaya kemudahan ini amat diperlukan bagi membantu mereka bekerja dalam suasana lebih selesa,” katanya.

Selain itu, PUSPANITA turut mengadakan lawatan ke Rumah Kanak-Kanak Arau bagi menyampaikan sumbangan serta beramah mesra bersama penghuni institusi berkenaan.

Program Langkah Kasih yang diperkenalkan sejak tahun lalu bertujuan memupuk nilai kemanusiaan, keprihatinan dan semangat kebersamaan dalam kalangan ahli PUSPANITA di seluruh negara.