Agro Penjaja-i bakal manfaatkan 700,000 penjaja berdaftar

Datuk Seri Mohamad Sabu/ RTM

KUALA LUMPUR, 13 Mei- Seramai lebih 700,000 penjaja berdaftar di seluruh negara dijangka menerima manfaat menerusi program Agro Penjaja-i yang diperkenalkan kerajaan bagi memperkukuh daya tahan serta mengembangkan perniagaan golongan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Agro Penjaja-i menawarkan kemudahan kewangan, latihan asas keusahawanan dan kemudahan digital kepada penjaja dan usahawan mikro.
  • Akses pembiayaan termasuk Skim Pembiayaan Mikro sehingga RM100,000, Cashline-i hingga RM5,000 dan pembiayaan Ar-Rahnu sehingga RM300,000.
  • Inisiatif bersepadu menyediakan khidmat nasihat, pengurusan kewangan digital dan sokongan bagi memperkukuh pengurusan perniagaan penjaja.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata program berkenaan bukan sahaja menawarkan kemudahan kewangan, malah turut menyediakan latihan asas keusahawanan serta kemudahan digital kepada penjaja.

“Para penjaja dan usahawan mikro akan menikmati pelbagai manfaat (di bawah Agro Penjaja-i) merangkumi akses Skim Pembiayaan Mikro sehingga RM100,000 dan kemudahan kredit Cashline-i sehingga RM5,000.

“(Selain itu) pembiayaan Ar-Rahnu sehingga RM300,000 dengan kadar keuntungan istimewa serendah RM0.50 sebulan serta laluan khas atau green lane,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Agro Penjaja-i di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Badli Shah Raja Hussin berkata Agro Penjaja-i merupakan inisiatif bersepadu yang menyediakan kemudahan pembiayaan serta khidmat nasihat dan pengurusan kewangan secara digital kepada penjaja berdaftar.

Beliau berkata program itu turut menawarkan pembiayaan sehingga RM100,000 selain perkhidmatan sokongan kewangan bagi memperkukuh pengurusan perniagaan golongan berkenaan.