
PUTRAJAYA, 13 Mei – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi jaminan bahawa peralihan kepada MyKad Struktur Baharu yang bermula Jun ini sama sekali tidak akan menjejaskan penyaluran bantuan kerajaan kepada rakyat.
- Proses penukaran MyKad tidak ganggu mekanisme penebusan bantuan sedia ada seperti SARA dan BUDI95.
- Maklumat penerima akan dimigrasi secara automatik supaya senarai nama tidak tercicir dan bantuan terus sampai kepada yang layak.
- JPN bekerjasama dengan kementerian dan agensi, mengukuh integrasi data serta melaksanakan pertukaran secara berfasa; tatacara akan diumumkan.
Langkah ini menjawab kegusaran segelintir pihak berhubung risiko gangguan teknikal atau keciciran nama daripada senarai penerima bantuan susulan pelancaran identiti struktur baharu tersebut.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan JPN, proses penukaran kad itu tidak akan mengganggu mekanisme penebusan bantuan sedia ada yang menggunakan MyKad sebagai medium pengesahan, antaranya Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
“JPN memastikan senarai nama penerima bantuan yang sedia ada di dalam sistem akan kekal dan tidak tercicir. Proses migrasi maklumat berlaku secara automatik dalam sistem pangkalan data pusat bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang layak,” jelas kenyataan tersebut.
Bagi memastikan kelancaran fasa transisi ini, JPN telah menjalin kerjasama erat dengan pelbagai kementerian dan agensi penyalur bantuan.
Integrasi data antara agensi turut diperkukuh bagi menjamin integriti maklumat tidak terjejas.
Selain itu, MyKad Struktur Baharu ini dilengkapi dengan ciri keselamatan lebih tinggi bertujuan memantapkan lagi proses pengesahan identiti tanpa mengubah ekosistem penyaluran subsidi sedia ada.
Dalam pada itu, JPN memaklumkan proses penukarannya akan dilaksanakan secara berfasa.
Oleh itu, orang ramai dinasihati agar tidak terpedaya dengan khabar angin bahawa bantuan akan dihentikan jika kad tidak ditukar segera.
“Fokus utama kami adalah meningkatkan keselamatan identiti rakyat tanpa menyukarkan urusan mereka untuk menerima bantuan kerajaan, terutamanya bagi golongan rentan,” tambah kenyataan itu lagi.
Tatacara permohonan terperinci mengenainya akan diumumkan dalam masa terdekat dan orang ramai boleh melayari laman web rasmi di www.jpn.gov.my atau mengikuti saluran media sosial rasmi JPN untuk sebarang maklumat lanjut.