
KUALA LUMPUR, 12 Mei – Kementerian Kewangan (MOF) sedang meneroka pelbagai kaedah bagi membolehkan lebih banyak syarikat berkaitan semikonduktor, termasuk syarikat berkaitan pelaburan langsung asing (FDI) dan syarikat tempatan, disenaraikan di Bursa Malaysia, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.
- Pasaran saham masih tidak mencerminkan kekuatan industri kerana kebergantungan tinggi pada model pertumbuhan berasaskan FDI.
- Penyenaraian syarikat semikonduktor di Bursa Malaysia penting untuk mengukuhkan ekonomi dan pasaran modal, terutamanya semasa ledakan kecerdasan buatan.
- Malaysia memiliki kebolehan kukuh dalam rantaian nilai semikonduktor terutamanya pembekal peralatan dan automasi, mampu menyerap peranan China bersama Singapura dan Vietnam.
Liew berkata langkah itu penting memandangkan pasaran saham ketika ini masih belum mencerminkan sepenuhnya kekuatan dan keupayaan industri negara kerana Malaysia masih banyak bergantung kepada model pertumbuhan berasaskan FDI.
“Selama ini, ia lebih tertumpu kepada kemasukan modal asing ke dalam negara, namun tidak cukup daripadanya mengalir dalam ekonomi domestik.
Kehadapan, ini merupakan satu lagi usaha penting yang perlu dilaksanakan dalam usaha membina ekonomi Malaysia yang lebih kukuh,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Affin Market Outlook 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata usaha meningkatkan penyenaraian syarikat semikonduktor di Bursa Malaysia penting bagi membina ekonomi dan pasaran modal yang lebih kukuh, khususnya ketika ledakan kecerdasan buatan (AI).
Menurutnya, Malaysia sememangnya mempunyai keupayaan kukuh dalam rantaian nilai semikonduktor, terutama melibatkan pembekal peralatan dan automasi yang merupakan segmen penting industri berkenaan.
“Jadi, jika kita bercakap mengenai daya tahan rantaian bekalan, memanfaatkan gelombang industri dan memastikan modal terus mengalir dalam ekonomi, maka kita boleh membina mini-Korea atau mini-Taiwan dalam pasaran modal dan industri kita,” katanya.
Liew berkata selain pembangunan industri, Malaysia juga perlu memberi tumpuan kepada usaha membina masyarakat yang lebih berdaya tahan dari segi ekonomi dengan menangani isu pekerjaan, gaji, perumahan dan pembangunan bandar.
Katanya langkah itu penting bagi memastikan rakyat mempunyai keyakinan ekonomi serta mampu menyertai fasa pertumbuhan negara seterusnya.
Bercakap secara berasingan dalam sesi fireside chat bertajuk “Malaysia’s Response to the Global Energy Crisis: Build Back Better”, beliau berkata sektor semikonduktor Malaysia berada pada kedudukan penting dalam rantaian bekalan global.
Beliau berkata ketika ekonomi Barat mempelbagaikan rantaian bekalan menjauhi China, Malaysia bersama Singapura dan Vietnam merupakan antara negara yang mampu menggantikan sebahagian peranan China dalam ekosistem semikonduktor dan AI.
“Apabila rantaian bekalan beralih daripada China, persoalannya ialah siapa yang akan menggantikannya. Dalam konteks global, hanya Singapura, Malaysia dan Vietnam berada dalam kedudukan untuk menyerap sebahagian ekosistem itu,” katanya. – BERNAMA