Viral: Antara ‘Likes’ jutaan dan integriti dalam pemasaran digital

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah "likes" sering jadi ukuran kejayaan tetapi boleh palsu, bukan penentu kredibiliti sebenar.
  • Manipulasi melalui akaun palsu, bot dan kandungan AI menghakis kepercayaan pengguna terhadap kandungan tular.
  • Pemasaran berintegriti, telus dan beretika diperlukan untuk bina kepercayaan jangka panjang, bukan populariti sementara.

Dunia media sosial hari ini, berkembang terlalu pantas dan secara tidak langsung mengubah cara peniaga mempengaruhi pengguna. Apa sahaja boleh menjadi tular dalam sekelip mata.

Produk yang sebelum ini tidak dikenali tiba-tiba habis dijual, video yang kelihatan biasa mampu meraih jutaan tontonan, malah seseorang boleh menjadi popular hanya melalui satu kandungan di media sosial.

Di Malaysia, penggunaan internet dan media sosial terus meningkat dari tahun ke tahun. Tik Tok, Instagram, Facebook dan YouTube bukan lagi sekadar platform hiburan, tetapi telah menjadi ruang utama pemasaran dan perniagaan.

Dalam suasana digital yang semakin kompetitif, perhatian pengguna menjadi rebutan. Disebabkan itu, ramai pihak berlumba-lumba menghasilkan kandungan yang mampu menarik perhatian dan cepat tular.

Namun, di sebalik perkembangan ini, timbul satu persoalan yang semakin membimbangkan – adakah semua kandungan yang tular itu benar-benar asli atau sebenarnya hanya populariti yang sengaja “dicipta”?

Apabila “Likes” Menjadi Ukuran Kejayaan

Hari ini, kejayaan sesuatu produk atau kempen pemasaran sering diukur berdasarkan jumlah “likes”, tontonan, komen, kongsi dan pengikut yang dipaparkan di media sosial. Semakin tinggi angka yang diperoleh, semakin berjaya sesuatu produk dan kandungan itu dilihat dimata masyarakat.

“Likes” bukan lagi sekadar tanda suka, tetapi sudah menjadi senjata psikologi untuk menarik perhatian, membina pengaruh dan mencipta persepsi populariti. Bilangan pengikut yang ramai juga dikaitkan dengan kredibiliti dan pengaruh dalam dunia pemasaran digital.

Namun, pernahkah kita terfikir, bahawa di sebalik jutaan“likes” itu, adakah angka tersebut benar-benar datang dari sokongan pengguna atau sekadar strategi untuk mengejar populariti sementara?

Realiti di Sebalik Populariti Digital

Kita perlu sedar bahawa isu manipulasi maklumat dalam dunia digital sememangnya wujud dan bukan lagi perkara baharu. Banyak kajian menunjukkan bahawa sebahagian interaksi di media sosial dipengaruhi oleh akaun palsu dan bot automatik untuk meningkatkan jumlah “likes”, tontonan dan komen.

Dalam masa yang sama, kandungan dan ulasan palsu juga semakin berleluasa di media sosial. Lebih membimbangkan, teknologi kecerdasan buatan (AI) kini mampu menghasilkan ulasan dan kandungan yang kelihatan begitu nyata sehingga sukar untuk pengguna menentukan keasliannya.

Media sosial hari ini dilihat seolah-olah menjadi medan persaingan untuk merebut perhatian pengguna. Ada pihak yang sanggup menghasilkan kandungan sensasi dan kontroversi semata-mata untuk mendapatkan tontonan tinggi dan terus kekal tular.

Apa yang kelihatan hebat di media sosial mungkin sebenarnya tidak seindah yang disangka dan tidak semestinya mencerminkan keadaan sebenar. Keadaan ini akhirnya mewujudkan dilema dalam dunia pemasaran digital antara mengejar perhatian dan mengekalkan integriti.

Antara Populariti dan Integriti

Apabila pengguna semakin sukar membezakan antara kandungan asli dan yang dimanipulasi, kepercayaan terhadap dunia digital mula terjejas. Ramai yang kini menjadi lebih skeptical terhadap kandungan yang terlalu tular kerana bimbang ia hanyalah strategi pemasaran semata-mata.

Di sinilah pentingnya nilai kejujuran dalam dunia pemasaran digital. Pemasaran yang berintegriti mampu membina hubungan yang lebih kukuh antara jenama dan pengguna.

Peniaga tidak perlu menggadaikan integriti dan kredibiliti semata-mata untuk mengejar perhatian sementara melalui gimik atau sensasi. Sebaliknya, kejayaan yang berkekalan memerlukan strategi yang matang, konsisten dan berkualiti.

Kembali Kepada Pemasaran Berintegriti

Dalam menghadapi cabaran ini, semua pihak perlu kembali kepada nilai kejujuran dan tanggungjawab. Islam sendiri menekankan sikap amanah dalam setiap urusan.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 42 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mencampurkan kebenaran dengan kebatilan, dan janganlah kamu menyembunyikan kebenaran, sedangkan kamu mengetahuinya.”

Teknologi seperti AI sepatutnya digunakan untuk meningkatkan kualiti kandungan dan membantu pengguna, bukannya menjadi alat untuk mengelirukan masyarakat.

Dalam masa yang sama, pihak industri perlu lebih telus dalam setiap aktiviti pemasaran yang dijalankan. Manakala garis panduan yang jelas perlu disediakan agar teknologi tidak disalahgunakan.

Etika pemasaran perlu terus diperkasakan agar setiap kempen bukan sahaja berkesan, tetapi juga berintegriti. Pengguna juga perlu lebih bijak menilai maklumat dan tidak mudah terpengaruh hanya kerana sesuatu kandungan itu popular atau memiliki jutaan “likes”.

Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim turut mengingatkan kita bahawa setiap amalan bergantung kepada niat. Dalam konteks pemasaran hari ini, kejayaan sebenar bukan sekadar pada angka yang dipaparkan di skrin tetapi pada nilai kejujuran dan niat baik di sebalik setiap usaha yang dilakukan.

Kesimpulan

Budaya mengejar “likes”, hari ini menunjukkan bagaimana teknologi mampu mempengaruhi cara manusia berfikir dan membuat keputusan. Namun, dalam keghairahan mengejar perhatian dan populariti, nilai kejujuran tidak boleh diabaikan.

Sebagai peniaga dan pengguna, kita perlu sama-sana memelihara nilai integriti dalam dunia pemasaran digital. Biarlah “likes” hadir daripada kepercayaan yang dibina secara jujur, bukannya sekadar angka yang dicipta demi membentuk persepsi populariti.

Kejayaan sebenar dalam dunia pemasaran digital bukan hanya diukur melalui jumlah “likes” tetapi sejauh mana kepercayaan dapat dibina dan dikekalkan. Kuasa tular mungkin boleh mencipta perhatian sementara, namun hanya integriti yang mampu melahirkan kepercayaan yang berpanjangan.

Akhir sekali, di sebalik pelbagai kebaikan yang dibawa oleh kemajuan teknologi hari ini, dunia digital perlu terus dipandu dengan nilai kejujuran, tanggungjawab dan integriti agar manfaatnya dapat dinikmati bersama.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Suhaily Md Shamsudin
Pensyarah
Jabatan Perniagaan dan Pengurusan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: suhaily@uis.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.