BUDI MADANI salur subsidi RM11.2 bilion, manfaatkan hampir 14 juta rakyat setakat 31 mei 2026

Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan program BUDI MADANI dan melaksanakan penambahbaikan yang bersesuaian dari semasa ke semasa

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Pelaksanaan program penyasaran subsidi bahan api di bawah BUDI MADANI melibatkan penggunaan keseluruhan sebanyak 11.1 bilion liter dan nilai jualan sekitar RM 22.1 bilion, dengan RM11.2 bilion daripadanya adalah jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan setakat 31 Mei 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • BUDI MADANI memberi manfaat kepada hampir 14 juta rakyat Malaysia setakat Mei 2026.
  • Perbelanjaan subsidi meningkat kira-kira tiga kali ganda sejak krisis Asia Barat berbanding tempoh sama 2025.
  • Tiada permohonan diperlukan; kelayakan jelas: warganegara MyKad, pemegang lesen memandu sah dan kelas layak.
  • Kerajaan memantau pelaksanaan, menyediakan portal semakan, pusat khidmat BUDI MADANI, hebahan berterusan dan penambahbaikan berasaskan data.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), sejak krisis di Asia Barat, perbelanjaan subsidi BUDI MADANI yang telah memberi manfaat kepada hampir 14 juta rakyat Malaysia telah meningkat secara purata sebanyak tiga kali ganda berbanding tempoh sama pada 2025.

“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan program BUDI MADANI dan melaksanakan penambahbaikan yang bersesuaian dari semasa ke semasa bagi memastikan bantuan disalurkan secara adil, berkesan dan bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan,”menurut MOF menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

MOF menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai jumlah individu yang menikmati program BUDI untuk bahan api setakat Mei 2026 dan jumlah subsidi yang telah disalurkan.

Menurut kementerian, tiada permohonan perlu dibuat bagi menikmati BUDI MADANI memandangkan kriteria kelayakan yang ditetapkan adalah jelas dan mudah, iaitu warganegara Malaysia pemegang MyKad yang memiliki lesen memandu sah dan daripada kelas yang layak.

Bagi memastikan golongan yang layak tidak tercicir daripada menikmati bantuan ini, MOF memaklumkan kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah termasuk penyediaan portal semakan kelayakan dan transaksi, pusat khidmat pelanggan BUDI MADANI dan hebahan berterusan melalui pelbagai saluran media.

MOF memaklumkan, selain itu, kerajaan turut melaksanakan penambahbaikan secara berterusan berdasarkan data penggunaan dan maklum balas yang diterima.-BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.