Ibu, luka dan sebuah kesabaran

Gambar janaan AI/Penulis

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Luka tersembunyi timbul dari kata-kata ibu yang diulang, perlahan melemahkan jiwa anak.
  • Anak menjauh sebagai perlindungan emosi, bukan kerana kebencian, kadang menjaga dari jauh untuk kekal waras.
  • Redha bukan bermakna tidak terluka; memaafkan dan sempadan sihat membolehkan kasih sembuh perlahan-lahan.

Bila Kasih Tidak Selalu Hadir seperti Kita Impikan

Setiap anak membesar dengan satu harapan yang sederhana, ia ingin disayangi, diterima dan dipeluk dengan tenang oleh seorang ibu. Namun kehidupan tidak selalu memberi kasih dalam bentuk yang indah.

Ada anak yang membesar dengan pujian. Ada pula yang membesar dengan kritikan yang tidak pernah habis. Ada yang pulang ke rumah untuk mencari ketenangan, tetapi akhirnya belajar menelan air mata sendiri di dalam diam.

Tidak semua luka dapat dilihat dengan mata. Ada luka yang tersembunyi di dalam hati seorang anak, lahir daripada kata-kata yang diulang bertahun-tahun. Kata-kata yang mungkin dianggap biasa oleh seorang ibu, tetapi perlahan-lahan melemahkan jiwa anak sendiri. Lebih menyakitkan, luka itu datang daripada insan yang paling disayanginya.

Bila Rumah Menjadi Tempat Menyimpan Luka

Dalam masyarakat kita, hubungan ibu dan anak sering digambarkan penuh kelembutan. Namun hakikatnya, ada anak yang hidup dalam keadaan sentiasa dipersalahkan, dibanding-bandingkan atau diburukkan di hadapan orang lain.

Ada ibu yang tanpa sedar gemar membuka cerita tentang kekurangan anak kepada jiran, saudara-mara malah menantu sendiri. Segala kelemahan diulang menjadi cerita, sedangkan pengorbanan anak jarang disebut.

Sedikit demi sedikit, anak mula belajar menyimpan diri. Tidak lagi bercerita banyak. Tidak lagi berkongsi semua rasa. Bukan kerana tidak sayang, tetapi kerana terlalu penat untuk terluka.

Lebih menyedihkan apabila pasangan kepada anak itu juga menjadi sasaran kata-kata yang menyakitkan. Rumah tangga menjadi tegang. Anak-anak kecil pula membesar dalam suasana emosi yang tidak tenang.

Namun di sebalik semua itu, ketika ibu jatuh sakit, anak yang pernah dilukai itulah juga yang datang menjaga. Mengangkat tubuh yang lemah. Menemani ke hospital. Menyuap makan. Berjaga malam ketika ibu tidak mampu tidur menahan sakit.

Ada juga pasangan yang tetap memberi izin dan membantu menjaga ibu mentua walaupun pernah mendengar pelbagai kata buruk tentang dirinya. Bukan kerana mereka lemah. Tetapi kerana hati mereka masih memilih ihsan.

Mengapa Ada Anak Menjauhkan Diri?

Masyarakat sering cepat menghukum apabila melihat anak mula menjauh daripada ibu bapa. Mudah melabel mereka sebagai derhaka tanpa mengetahui cerita sebenar. Hakikatnya, ada anak yang menjauh bukan kerana benci. Tetapi kerana terlalu lama memendam luka.

Dalam ilmu tingkah laku manusia, seseorang yang terlalu lama hidup dalam tekanan emosi akan mula membina jarak sebagai mekanisme perlindungan diri. Mereka cuba menyelamatkan hati sendiri daripada terus rosak.

Kadang kala diam bukan tanda kurang ajar. Diam ialah cara seseorang terus bertahan. Ada anak yang masih menelefon ibunya setiap hari walaupun selepas panggilan itu dia menangis sendirian.

Ada anak yang tetap datang ketika ibu sakit walaupun hatinya pernah pecah berkali-kali. Ada juga yang memilih untuk menjaga dari jauh kerana itulah satu-satunya cara untuk kekal waras.

Redha Bukan Bererti Tidak Terluka

Ramai menyangka redha bermaksud kita perlu menerima semua kesakitan tanpa rasa apa-apa. Hakikatnya, redha bukan bererti hati tidak terluka. Redha ialah apabila kita belajar menerima bahawa manusia juga tidak sempurna termasuk seorang ibu dan seorang anak.

Kadang kala seorang ibu melukai anak bukan kerana dia membenci, tetapi kerana dia sendiri pernah hidup dengan luka yang tidak pernah sembuh. Ada generasi yang tidak pernah diajar cara menyayangi dengan lembut. Ada yang membesar dalam kekurangan kasih, lalu tanpa sedar mengulang luka yang sama kepada anak sendiri.

Anak pula, walau sekuat mana bertahan, tetap manusia biasa yang ada batas emosinya. Oleh kerana itu, dalam menjaga hubungan, kedua-duanya perlu belajar menerima ketidaksempurnaan masing-masing.

Anak belajar menerima bahawa ibunya mungkin tidak mampu menjadi ibu yang sempurna. Ibu pula perlu belajar bahawa anak juga mempunyai hati yang boleh letih dan terluka.

Apabila redha mula hadir, hubungan itu mungkin tidak menjadi sempurna sepenuhnya, tetapi ia boleh menjadi lebih tenang. Kurang menyakiti. Kurang memaksa. Kurang membuka luka lama. Mungkin di situlah kasih mula belajar sembuh perlahan-lahan.

Menjadi Kuat Tanpa Membenci

Ada anak yang memilih untuk tetap menjaga ibu walaupun hubungan mereka penuh luka. Mereka belajar bahawa menjadi baik tidak semestinya bermaksud mengorbankan seluruh jiwa sendiri. Mereka mula belajar membina sempadan yang sihat.

Tidak semua perkara perlu diceritakan. Tidak semua penghinaan perlu dibalas. Tidak semua kesedihan perlu diterangkan kepada orang lain. Kadang kala menjaga jarak emosi bukan bermaksud memutuskan kasih, tetapi memberi ruang agar hati tidak terus terluka.

Dalam ilmu pengurusan diri, antara perkara paling sukar dilakukan ialah berhenti berharap manusia memahami semua pengorbanan kita kerana ada luka yang hanya Allah benar-benar tahu.

Syurga, Dosa dan Sebuah Kesabaran

Hubungan anak dan ibu sering dikaitkan dengan syurga. Namun dalam perjalanan menuju reda, ada anak yang terlalu letih memikul beban emosi yang tidak pernah difahami orang lain.

Mereka tersenyum di luar, tetapi menangis dalam diam. Mereka tetap memilih untuk hadir walaupun pernah terluka. Mungkin di situlah letaknya kekuatan sebenar seorang anak, ia tetap memilih ihsan walaupun hatinya tidak lagi sempurna.

Ini kerana memaafkan bukan bermaksud melupakan segalanya. Kadang kala memaafkan hanyalah usaha untuk hidup dengan hati yang lebih tenang. A pabila seorang ibu dan anak mula belajar menerima ketidaksempurnaan masing-masing, hubungan itu mungkin tidak lagi dipenuhi luka yang sama.

Mereka mungkin tidak menjadi keluarga yang sempurna. Tetapi mereka boleh menjadi manusia yang lebih lembut, lebih memahami dan lebih tenang dalam versi diri masing-masing.

Doa untuk Hati yang Sedang Bertahan

“Ya Allah, jika hati ini terlalu penat untuk memahami, ajarkan kami untuk bersabar tanpa membenci. Jika luka ini terlalu dalam, sembuhkanlah dengan kasih sayang-Mu. Dan jika kami masih memilih untuk menjaga orang yang pernah melukai kami, jadikanlah itu jalan mendekatkan kami kepada-Mu, bukan jalan menghancurkan jiwa kami.”

Tidak semua anak mampu bercerita tentang lukanya, Kerana ada luka yang terlalu lama dipendam sehingga akhirnya mereka hanya mampu tersenyum dan berkata,
“terima kasih diriku kerana aku masih bertahan sejauh ini dan aku sedang belajar untuk redha.”

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Nor Rosmawati Abdul Karim
Pensyarah, Jabatan Pengurusan dan Perniagaan
Fakulti Ekonomi, Perakauanan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: norrosmawati@uis.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.