NPE 2 guna sistem tol tanpa palang, dijangka siap 2029

Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Tol IJM Corporation Bhd, Chua Lay Hoon (dua dari kiri) bersama Ketua Unit Sokongan Pusat Kejuruteraan, Penyelenggaraan dan Trafik, Ir Azarulizam Ismail (kiri) dan Pengurus Kanan Projek NPE 2, Ir Ivan Tan Chee Yen (tiga dari kanan) ketika Taklimat Media Projek Sambungan NPE 2 di Pantai Sentral Park / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Projek Sambungan Lebuhraya Baru Pantai 2 (NPE 2) dijangka menjadi antara lebuh raya pertama di negara ini yang direka untuk menggunakan sistem kutipan tol tanpa palang atau Multi-Lane Free Flow (MLFF) apabila siap sepenuhnya pada 2029.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek bernilai RM1.7 bilion, membina laluan utama 6.4 km dan jajaran termasuk tanjakan 15 km, sambung Plaza Tol Pantai Dalam ke Jalan Istana.
  • Kerja reka bentuk dan pemodelan capai kira-kira 6 peratus; kerja pembinaan fizikal bermula sejak bulan lalu.
  • NPE 2 dijangka memperkukuh rangkaian lebuh raya Lembah Klang, menghubungkan NPE, BESRAYA dan cadangan Lebuhraya Istana-Kiara.

Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Tol IJM Corporation Berhad, Chua Lay Hoon berkata, sistem ini adalah bagi memastikan aliran trafik lebih lancar dan mengurangkan kesesakan, terutama pada waktu puncak.

“Reka bentuk projek ini memang telah mengambil kira pelaksanaan MLFF. Bagaimanapun, pelaksanaannya bergantung kepada program dan keputusan kerajaan pada masa akan datang,” katanya pada Taklimat Khas Projek Sambungan NPE 2 bersama media di sini hari ini.

Projek bernilai RM1.7 bilion itu melibatkan pembinaan laluan utama sepanjang 6.4 kilometer dengan keseluruhan jajaran termasuk tanjakan sejauh 15 kilometer yang menghubungkan Plaza Tol Pantai Dalam ke Jalan Istana di Kuala Lumpur.

Setakat ini, projek berkenaan mencapai kemajuan kira-kira enam peratus membabitkan kerja reka bentuk dan pemodelan, manakala kerja pembinaan fizikal telah bermula sejak bulan lalu.

Apabila siap kelak, NPE 2 dijangka memperkukuh rangkaian lebuh raya di Lembah Klang melalui hubungan yang lebih cekap antara Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan cadangan Lebuhraya Istana-Kiara (LIKE).

Projek itu juga selaras dengan Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040 yang bertujuan meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan dan mobiliti bandar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.