Bapa dedah rahsia kejayaan Hakim Danish

Hakim Danish, menjuarai saingan Moto3 Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno / foto FB Hakim Danish

KUALA TERENGGANU, 23 Jun – Kejayaan pelumba muda negara, Hakim Danish, meraih keputusan membanggakan dalam saingan Moto3 Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno baru-baru ini bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, malah membuktikan potensinya untuk melangkah lebih jauh dalam arena perlumbaan motosikal dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bapa Ramli sebut pengorbanan sejak anak mula berlumba pada usia lapan tahun tidak sia-sia.
  • Hakim menunjukkan minat mendalam dan gemar mendalami aspek teknikal sejak bermula dengan pocket bike.
  • Perjalanan menjadi pelumba antarabangsa memerlukan komitmen tinggi, kos besar serta penyelenggaraan dan pembangunan teknikal.
  • Sokongan Zulfahmi, ibu bapa dan pihak lain penting; ibu bapa bangga namun sentiasa risau.

Bagi bapanya, Ramli Ibrahim, kejayaan itu menjadi bukti bahawa segala pengorbanan yang dilakukan sejak anaknya mula menceburi sukan permotoran pada usia lapan tahun tidak sia-sia.

Menurut Ramli, Hakim Danish menunjukkan minat mendalam terhadap sukan permotoran sejak kecil dan sentiasa berusaha meningkatkan kemampuan bagi menyaingi pelumba terbaik dunia.

Katanya, perjalanan membentuk seorang pelumba bertaraf antarabangsa bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan komitmen tinggi serta kos yang besar, khususnya melibatkan penyelenggaraan jentera, pembangunan teknikal dan penyertaan dalam pelbagai kejohanan.

“Sejak kecil lagi dia memang sukakan cabaran. Dalam perlumbaan, dia sentiasa melihat kepada pelumba yang lebih hebat daripadanya dan mahu mencapai tahap tersebut.

“Dari segi teknikal pula, memang itu minatnya sejak mula berlumba menggunakan pocket bike. Dia lebih gemar mendalami perkara yang sukar terlebih dahulu,” katanya.

Ramli yang merupakan mekanik motosikal berusia 57 tahun turut mengakui perkembangan karier anaknya tidak mungkin berada pada tahap sekarang tanpa sokongan pelbagai pihak, termasuk bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin.

Menurutnya, peranan Zulfahmi selaku pemilik dan pengurus pasukan ZK Racing banyak membantu dalam mencungkil dan mengembangkan bakat Hakim Danish.

“Pada peringkat awal, saya sendiri yang membawanya ke mana-mana perlumbaan. Namun selepas itu, saya menyerahkannya kepada Zulfahmi.

“Zulfahmi nampak bakat yang ada pada Hakim Danish dan percaya bakat itu boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Norhayati Abdul Razak, mengakui perasaan bimbang sentiasa menyelubungi dirinya setiap kali melihat anak tunggal lelakinya itu beraksi di litar.

Bagaimanapun, beliau bersyukur apabila usaha keras Hakim Danish berjaya diterjemahkan kepada keputusan cemerlang yang membanggakan negara.

“Saya sangat terharu dan bangga kerana dia dapat memberikan yang terbaik untuk Malaysia.

“Walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk penalti yang memaksanya bermula dari kedudukan kurang baik, dia tetap berusaha sehingga ke garisan penamat dan akhirnya berjaya menaiki podium. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur,” katanya.

Kedua-dua ibu bapa Hakim Danish ditemui RTM di kediaman mereka di Kampung Surau Haji Daud, Kuala Terengganu.

Dengan prestasi yang semakin konsisten di pentas antarabangsa, Hakim Danish kini dilihat sebagai antara prospek terbaik negara untuk meneruskan legasi kecemerlangan sukan permotoran Malaysia pada masa hadapan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.