
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Cadangan kerajaan untuk mengkaji semula pemberian subsidi bersasar petrol RON95 bagi golongan kaya disifatkan sebagai langkah progresif.
- Penentuan semula definisi T20 perlu teliti, ambil kira pendapatan bersih dan kos sara hidup berbeza di bandar besar.
- Kerajaan perlu guna data pelbagai agensi seperti Jabatan Perangkaan, Bank Negara dan PADU untuk mengesan pendapatan bersih isi rumah tepat.
- Pelaksanaan subsidi bersasar mesti mampan, elak menjejaskan perniagaan atau meningkatkan inflasi, sambil menyalurkan penjimatan kepada B40 dan M40.
Penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, langkah itu berpotensi mengurangkan beban kewangan kerajaan ketika harga minyak dunia terus meningkat dan belum menunjukkan tanda-tanda penurunan.
“Perlu kerajaan menilai semula kerana subsidi bersasar ini telah mencecah antara RM5 hingga RM6 bilion sebulan, sekali gus memberi tekanan besar kepada kewangan negara dan pastinya memberikan kesan buruk kerana ia mungkin mencecah RM50 hingga RM60 bilion setahun berbanding peruntukan dalam belanjawan negara untuk tahun ini, hanya sekitar RM15 hingga RM20 bilion,” katanya kepada pemberita RTM.
Bagaimanapun beliau berkata, pelaksanaannya perlu dibuat secara teliti khususnya dalam menentukan definisi sebenar kumpulan berpendapatan tinggi.
Definisi T20 perlu diperhalus kerana ia berdasarkan pendapatan kasar isi rumah dan purata pendapatan di seluruh negara, sedangkan kos sara hidup di bandar besar jauh lebih tinggi.
Menurutnya, golongan berpendapatan melebihi RM10,000 sebulan di bandar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru belum tentu dapat menikmati kedudukan kewangan yang benar-benar selesa selepas mengambil kira komitmen bulanan seperti perumahan dan kos sara hidup lain.
“Pendapatan bersih mereka mungkin lebih dekat kepada kumpulan M40 berbanding T20,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar kerajaan menggunakan pelbagai sumber data termasuk daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, Bank Negara Malaysia dan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi mengenal pasti pendapatan bersih isi rumah dengan lebih tepat.
Pendekatan tersebut dapat memastikan golongan yang benar-benar memerlukan bantuan tidak tercicir atau kehilangan subsidi secara tidak adil dan pada masa sama, penjimatan hasil pelaksanaan subsidi bersasar itu boleh disalurkan semula kepada kumpulan B40 dan M40.
“Pelaksanaannya perlu dibuat secara mampan tanpa menimbulkan kegusaran rakyat, menjejaskan perniagaan atau memberi kesan kepada kadar inflasi negara,” katanya.