Google, YouTube lancar inisiatif ‘Bijak Digital’ untuk keluarga Malaysia

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Google dan YouTube memperkenalkan rangkaian alat keselamatan digital dan ciri kawalan masa skrin yang dipertingkatkan bagi membantu ibu bapa di Malaysia mengurus pengalaman dalam talian anak-anak mengikut kesesuaian umur.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ciri Bedtime, Take a Break dan kawalan khusus YouTube Shorts ditawarkan untuk kawal masa skrin serta galakkan keseimbangan gaya hidup digital.
  • Google tekankan daya tahan digital keluarga perlukan alatan tepat dan komunikasi keluarga, bukan hanya pemantauan semata.
  • Program Be Internet Awesome diperkasa, bersama SafeSearch, YouTube Kids dan Family Link untuk tingkatkan literasi dan keselamatan siber keluarga.

Menerusi inisiatif “Bijak Digital Bersama Google dan YouTube”, gergasi teknologi itu menawarkan ciri-ciri seperti “Bedtime” (Waktu Tidur) dan “Take a Break” (Berehat Sebentar), selain kawalan khusus bagi penggunaan YouTube Shorts untuk menggalakkan keseimbangan gaya hidup digital yang lebih sihat.

Pengarah Urusan Negara Google Malaysia, Ben King berkata, keberkesanan daya tahan digital keluarga tidak hanya bergantung kepada pemantauan semata-mata, tetapi memerlukan sokongan alatan yang tepat serta komunikasi yang lebih baik antara ahli keluarga.

“Ramai ibu bapa kini lebih proaktif dalam membimbing anak-anak mereka di alam digital, namun perkembangan teknologi yang pesat tetap memberikan cabaran baharu kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain aspek teknikal, Google turut memperkasakan program literasi digital Be Internet Awesome yang direka khusus untuk melatih anak-anak dan ibu bapa memahami asas keselamatan siber, termasuk kaedah mengenal pasti maklumat palsu di internet.

Langkah tersebut dilihat sebagai respons kepada data tinjauan yang menunjukkan hanya 21 peratus ibu bapa di Malaysia menggunakan ciri kawalan peranti sedia ada, walaupun majoriti daripada mereka bimbang akan pendedahan anak-anak kepada kandungan yang tidak sesuai.

Sokongan tambahan seperti SafeSearch, YouTube Kids, dan aplikasi Family Link turut ditonjolkan sebagai instrumen utama dalam ekosistem keselamatan tersebut bagi memastikan persekitaran digital yang lebih selamat untuk generasi muda.