
KLANG , 9.Mei -Industri maritim negara berpotensi berkembang dengan lebih pesat kerana Malaysia memiliki keupayaan serta kepakaran dalam industri pembinaan kapal dan bot yang setanding dengan pengeluar luar negara.
- Pendekatan agresif dan promosi antarabangsa diperlukan untuk memasarkan produk tempatan.
- Kolaborasi antara Jabatan Laut dan pengeluar membantu menilai serta meningkatkan kualiti pembinaan bot tempatan.
- ZAFPRO 36 menunjukkan kemampuan anak tempatan menghasilkan bot gentian kaca berkualiti tinggi.
- Reka bentuk cermin sisi inovatif mengatasi titik buta, disahkan melalui simulasi, meningkatkan keselamatan penglihatan nakhoda.
Ketua Pengarah Jabatan Laut , Datuk Dickson Dollah berkata, pendekatan lebih agresif perlu dilaksanakan, khususnya dalam usaha mempromosikan produk tempatan ke peringkat antarabangsa.
“Salah satu produk tempatan yang kita lihat setaraf dengan produk buatan antarabangsa atau negara luar.Kita juga akan menjalinkan kolaborasi bersama Jabatan Laut dan syarikat beliau (ZAFPRO 36 Pilot House) bagi menilai sejauh mana produk yang dihasilkan mampu meningkatkan kualiti pembinaan bot tempatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran ZAFPRO 36 Pilot House di Pelabuhan Klang.
Katanya, ZAFPRO 36 Pilot House membuktikan kemampuan anak tempatan menghasilkan bot berkualiti tinggi, khususnya dalam segmen pembinaan berasaskan gentian kaca yang kini semakin mendapat perhatian dalam industri maritim.
Katanya, pembangunan produk tempatan seperti itu perlu terus diperkasa menerusi kerjasama strategik dan promosi lebih meluas supaya mampu menembusi pasaran global.
Bagi Pengasas ZAFPRO 36 Pilot House Muhammad Shamsul Ahmad Kamal, penciptaan boat persiaran ZAFPRO 36 buat kali ini, menghasilkan reka bentuk cermin sisi yang dibangunkan khusus untuk mengatasi masalah “blind spot” atau titik buta ketika mengendalikan bot.
Jelasnya , inovasi itu dihasilkan selepas pihaknya menjalankan pelbagai kajian termasuk penelitian forum industri maritim antarabangsa yang banyak membangkitkan isu keselamatan melibatkan penglihatan nakhoda.
“Bot ini mempunyai beberapa kelebihan, namun yang paling utama ialah pada bahagian cermin sisi yang direka khas bagi mengatasi masalah titik buta (blind spot), khususnya melibatkan penglihatan nakhoda.
“Masalah tersebut sering dibangkitkan dalam pelbagai kajian dan forum maritim antarabangsa. Berdasarkan kajian yang dijalankan, kami membangunkan simulasi sebenar mengikut saiz bot bagi menilai keberkesanan reka bentuk itu.
Hasil daripada simulasi tersebut, kami memutuskan untuk meneruskan reka bentuk berkenaan dan terbukti masalah titik buta berjaya diatasi,” katanya.