
KUDAT, 9 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan khas melebihi RM31 juta bagi memacu pembangunan di Pulau Banggi, sekali gus memastikan penduduk di pulau terbesar Malaysia itu tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.
- Pengumuman projek naik taraf jalan, jambatan, balai polis dan fasiliti klinik di Pulau Banggi.
- Naik taraf Jeti Awam Karakit kepada terminal feri serta naik taraf jeti Kampung Dogoton untuk kegunaan penduduk.
- Projek Jalan Kampung Limbuak Laut ke Kampung Pengkalan Darat dilaksanakan JKR Sabah membuka akses ekonomi, pendidikan dan kesihatan.
- Kerajaan umum sumbangan tambahan RM1.25 juta untuk program pendidikan, teknologi hijau, kesihatan dan pembangunan insan.
Beliau berkata, peruntukan menerusi Kerajaan Persekutuan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri itu melibatkan pembangunan jalan raya, jambatan, kesihatan, pendidikan, keselamatan serta kemudahan jeti.
“Antara projek terlibat termasuk naik taraf jalan dan jambatan di Kampung Limbuak Laut, Kapitangan, Damaran dan Bayangan Laut, selain penambahbaikan Balai Polis Pulau Banggi serta fasiliti di Klinik Kesihatan Karakit,” kata beliau pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Penduduk Banggi di sini hari ini.
Turut disenaraikan, projek menaik taraf asrama sekolah di Pulau Banggi dan Pulau Balambangan, pelaksanaan projek keselamatan dan pertahanan oleh Kementerian Pertahanan serta naik taraf Jeti Awam Karakit kepada terminal feri.
Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Anwar berkata projek menaik taraf Jalan Kampung Limbuak Laut ke Kampung Pengkalan Darat kini sedang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dengan kos hampir RM44 juta.
Menurut beliau, projek itu penting bagi membuka akses ekonomi, pendidikan dan kesihatan kepada penduduk di kawasan pedalaman pulau berkenaan.
Perdana Menteri turut mengumumkan sumbangan tambahan kerajaan sebanyak RM1.25 juta yang akan diselaraskan agensi di bawah Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Menurut beliau, dana itu akan dimanfaatkan menerusi pelaksanaan program pendidikan, pengupayaan institusi, teknologi hijau, kesihatan dan pembangunan insan.
Selain itu, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM1 juta bagi menaik taraf jeti di Kampung Dogoton untuk kegunaan penduduk dan agensi penguat kuasa.
Datuk Seri Anwar menegaskan kedudukan geografi yang jauh bukan alasan untuk komuniti di kawasan itu terus ketinggalan, sebaliknya kerajaan akan terus memastikan seluruh rakyat menikmati taraf hidup yang lebih baik.