KESUMA perluas bantuan pelajar cemerlang SPM di Sungai Buloh

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan di Program Sumbangan Pelajar Cemerlang SPM 2025/RTM

PETALING JAYA, 9 Mei – Seramai 934 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Parlimen Sungai Buloh menerima sumbangan berjumlah kira-kira RM300,000 menerusi Program Sumbangan Pelajar Cemerlang.

RINGKASAN BERITA AI
  • KESUMA memperluas Program Sumbangan Pelajar Cemerlang melalui HRD Corp untuk memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar.
  • Penerima kini merangkumi pelajar yang memperoleh 4A hingga 11A, bukan lagi terhad kepada 7A ke atas.
  • Menteri R. Ramanan umum pemberian 10,000 basikal percuma kepada belia Sungai Buloh, diagihkan dalam tempoh tiga bulan.
  • KESUMA komited memupuk kecemerlangan pelajar supaya menyokong pembangunan diri, peluang pendidikan, kerjaya dan mobiliti sosial.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, program anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu diperluaskan tahun ini bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar.

“Sebelum ini kita buat hanya untuk 7A ke atas, tetapi tahun ini pelajar yang memperoleh 4A, 5A, dan 6A juga menerima sumbangan. Jadi penerima melibatkan pelajar 4A hingga 11A,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sumbangan Pelajar Cemerlang 2025 Parlimen Sungai Buloh, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh turut mengumumkan pemberian 10,000 basikal percuma kepada belia di kawasan itu yang dijangka mula diagihkan dalam tempoh tiga bulan.

Katanya, inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan mobiliti anak muda selain menggalakkan gaya hidup lebih aktif.

Tambah beliau, KESUMA komited memastikan kecemerlangan pelajar terus dipupuk dan diterjemahkan kepada pembangunan potensi diri secara menyeluruh, sekali gus membuka lebih banyak peluang pendidikan, kerjaya serta mobiliti sosial.