Wira Merah terima 6,000 pakaian tahan api baharu menjelang Ogos

Anggota bomba melakukan persembahan pada Karnival Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan hari ini/Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 9 Mei – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bakal menerima 6,000 pasang pakaian tahan api baharu menjelang Ogos depan dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan anggota di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan luluskan peruntukan RM437.2 juta untuk memperkasa aset, logistik dan kebajikan anggota bomba.
  • Proses perolehan kini dalam fasa akhir dan dijangka diselesaikan sebelum sambutan Bulan Kebangsaan.
  • Kerajaan meluluskan 14 set jentera Hazmat dan CBRNE, aksesori, naik taraf kuarters serta baik pulih balai bomba.
  • Nga Kor Ming mahu kesiapsiagaan bomba sentiasa pada tahap 100 peratus tanpa kompromi setiap kali kecemasan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, pembekalan itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM437.2 juta yang diluluskan kerajaan bagi memperkasa aset, logistik dan kebajikan anggota bomba.

Beliau berkata, proses perolehan kini berada pada fasa akhir sebelum diserahkan kepada jabatan itu.

“Perolehannya kini dalam proses terakhir tender dan saya yakin ia dapat diselesaikan sebelum sambutan Bulan Kebangsaan.

“Kita mempercepatkan semua perolehan supaya kesiapsiagaan bomba tidak terjejas. Saya mahu pasukan beruniform ini sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan 100 peratus tanpa kompromi kerana setiap saat amat penting ketika kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 di Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.

Selain pakaian tahan api, kerajaan turut meluluskan pembekalan 14 set jentera Hazardous Materials (Hazmat dan CBRNE), aksesori, kerja naik taraf kuarters serta baik pulih balai bomba di seluruh negara.

Dalam perkembangan sama, Kor Ming berharap JBPM mampu meraih Anugerah Emas Integriti, Governans dan Antirasuah Sektor Awam tahun ini selari dengan sambutan Jubli Emas jabatan berkenaan.