
LABUAN, 3 Mei – Lebih 2,000 peserta menyertai program Moonlight Fun Walk 2026 sempena Cabaran Sukan Laut Antarabangsa Labuan (LISC) yang berlangsung di perkarangan Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, pada Sabtu.
- Program diselaras oleh Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan.
- Program memeriahkan LISC 2026 dan menggalakkan gaya hidup sihat menerusi aktiviti riadah berkonsepkan kekeluargaan.
- Pelepasan peserta disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.
- Acara termasuk pertandingan pakaian kreatif "Glowing In The Dark" dan cabutan bertuah dengan hadiah daripada Majlis Sukan Wilayah Persekutuan Labuan.
Program bermula sekitar pukul 7.00 malam itu diselaras Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan menghimpunkan peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut kenyataan JBS Labuan, penganjuran program memeriahkan LISC 2026 di samping menggalak masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat menerusi penyertaan aktiviti riadah berkonsepkan kekeluargaan.
Majlis pelepasan peserta disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Dato’ Parang Abai @ Thomas, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Ismail serta Pengarah JBS Labuan, Mahanum Fauzi.
Acara turut dimeriahkan dengan pertandingan pakaian kreatif bertemakan Glowing In The Dark bagi kategori lelaki dan wanita, selain cabutan bertuah dengan hadiah sumbangan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan Labuan.