
KUALA LUMPUR, 30 April -Pelantikan sembilan anggota Tribunal Rayuan Persaingan (TRP) dijangka meningkatkan integriti dan kecekapan sistem keadilan persaingan negara, sekali gus memastikan pengendalian semua rayuan terhadap Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dilaksanakan secara adil dan telus.
- Keanggotaan TRP kini 12 orang, dipimpin Presidennya Datuk Mohd Arief Emran Arifin, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
- Ahli TRP terdiri daripada pakar perindustrian, perdagangan, ekonomi, undang-undang, perakaunan dan hal ehwal pengguna.
- Sejak penubuhan di bawah Akta 712 pada 1 Januari 2012, TRP menerima 57 kes; 48 selesai, 9 masih dalam prosiding.
- Pada 11 Februari, TRP mengekalkan keputusan MyCC dalam kes kartel ayam dengan penalti rekod RM415.5 juta.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, lapan anggota merupakan pelantikan baharu, manakala seorang lagi dilantik semula dengan kesemua pelantikan berkenaan telah mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya yakin semua anggota TRP yang dilantik dapat melaksanakan tanggungjawab berasaskan keadilan tanpa rasa takut dan berat sebelah.
“Saya juga ingin mengucapkan selamat bertugas kepada semua anggota, semoga TRP meneruskan kredibiliti sebagai sebuah institusi yang penting dalam landskap persaingan negara,” katanya dalam kenyataan.
Datuk Armizan berkata, keanggotaan TRP kini berjumlah 12 orang diketuai Presidennya, Datuk Mohd Arief Emran Arifin yang juga Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Katanya, seramai 11 anggota lain terdiri daripada pakar dalam bidang perindustrian, perdagangan, ekonomi, undang-undang, perakaunan dan hal ehwal pengguna.
“Sejak penubuhannya di bawah Akta 712 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2012, TRP telah menerima 57 kes, dengan 48 daripadanya berjaya diselesaikan manakala sembilan kes masih dalam prosiding.
“Pada 11 Februari lepas, TRP mengekalkan keputusan MyCC dalam kes kartel makanan ayam, melibatkan penalti tertinggi pernah direkodkan tribunal itu sebanyak RM415.5 juta,” jelas beliau.