FMM kekal komited lindungi kebajikan, hak pekerja

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menegaskan komitmen berterusan dalam memelihara maruah, kebajikan dan hak pekerja sebagai asas penting dalam membangunkan sektor pembuatan yang kukuh, bertanggungjawab dan mampan.

RINGKASAN BERITA AI
  • FMM kekal komited memelihara maruah, kebajikan dan hak pekerja dalam pembangunan sektor pembuatan yang bertanggungjawab dan mampan.
  • Hak pekerja termasuk keselamatan dan kesihatan, gaji adil, waktu kerja munasabah serta maruah harus sentiasa dipelihara.
  • Majikan yang melabur dalam kebajikan, pembangunan kemahiran dan persekitaran selamat meningkatkan semangat kerja, produktiviti dan pengekalan pekerja.
  • FMM mengiktiraf cabaran kos sara hidup, kenaikan kos input, gangguan rantaian serta persaingan global memerlukan tindakan kolektif.

Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok berkata, sektor pembuatan negara disokong lebih 2.3 juta pekerja yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan pengeluaran, eksport serta daya tahan ekonomi negara.

Beliau berkata, hak pekerja seperti keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, gaji yang adil, waktu kerja yang munasabah serta maruah dalam pekerjaan perlu sentiasa dipelihara.

Katanya, amalan itu bukan sahaja mencerminkan standard pekerjaan yang baik, malah menunjukkan tanggungjawab lebih luas syarikat dalam menjunjung hak asasi manusia di seluruh operasi dan rantaian bekalan.

“Sempena hari pekerja ini, FMM dan seluruh wakil dalam sektor pembuatan merakamkan penghargaan setinggi-tinggi kepada setiap pekerja atas dedikasi, ketabahan dan usaha gigih anda yang memaju industri negara dan memperkukuh kesejahteraan ekonomi negara Malaysia. Sumbangan anda akan kekal menjadi asas produktiviti, kemajuan dan kemakmuran negara kita,” katanya kepada pemberita RTM.

Pada masa sama, Jacob Lee mengakui pekerja dan majikan kini berdepan cabaran yang semakin kompleks.

Katanya, pekerja berhadapan peningkatan kos sara hidup serta ketidaktentuan harian, manakala pihak industri pula perlu mengurus kenaikan kos input, gangguan rantaian bekalan, persaingan global dan keperluan pematuhan yang semakin ketat.

Selain itu, beliau berkata, majikan yang memberi layanan adil, kebajikan pekerja, pembangunan kemahiran serta persekitaran kerja yang selamat sebenarnya sedang melabur dalam kelestarian jangka panjang organisasi mereka sendiri kerana ia membantu meningkatkan semangat kerja, produktiviti, kadar pengekalan pekerja, kestabilan organisasi serta reputasi perniagaan.

Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok