
KUALA LUMPUR, 1 Mei – Kerajaan mengumumkan Pakej Daya Tahan Ekonomi, Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) bernilai lebih RM710 juta bagi memperkukuh kestabilan pasaran buruh negara.
- PACE memberi tumpuan kepada perlindungan sosial melalui Sistem Insurans Pekerjaan dengan dana melebihi RM580 juta membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan.
- Peruntukan RM100 juta disalurkan untuk latihan semula dan penempatan kerja bagi meningkatkan kebolehgajian belia serta kumpulan rentan.
- Inisiatif turut mengupaya pekerja gig dengan RM20 juta serta memantapkan bakat muda dan PMKS melalui geran padanan RM10 juta.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pakej tersebut memberi tumpuan kepada perlindungan sosial, peningkatan kemahiran serta pengukuhan peluang pekerjaan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
“Kehadiran syarikat-syarikat besar, transformasi digital, AI tetapi tahap keupayaan pekerja masih di tahap yang lama oleh itu ada usaha tambahan dan kita terpaksa menyiapkan dana yang cukup,” katanya.
Menurut beliau, antara komponen utama pakej itu termasuk penyediaan dana bagi membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan, memperkasa program latihan semula serta meningkatkan kebolehgajian tenaga kerja.
Program PACE akan dilaksanakan menerusi empat inisiatif utama iaitu memperkukuh kesiapsiagaan perlindungan sosial melalui Sistem Insurans Pekerjaan, dengan dana melebihi RM580 juta bagi membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan.
Kedua, pemerkasaan latihan dan penempatan kerja melibatkan peruntukan RM100 juta untuk meningkatkan kebolehgajian belia dan kumpulan rentan.
Ketiga, pengupayaan pekerja gig melalui latihan kemahiran dengan peruntukan RM20 juta, khususnya bagi sektor e-hailing dan p-hailing.
Keempat, pemantapan bakat muda serta ketahanan PMKS melalui geran padanan latihan industri bernilai RM10 juta.
Insiatif tersebut melibatkan kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan dan berdaya saing selari dengan perubahan teknologi serta keperluan industri.