Pekerja perlu ditempatkan ikut kelayakan, pengalaman dan bidang sesuai

Naib Canselor dan Ketua Eksekutif IJN Universiti Kolej, Profesor Dr Durrishah Idrus

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Setiap pekerja perlu diletakkan di landasan yang tepat berdasarkan pengalaman, kelayakan serta kesesuaian bidang tugas bagi memastikan potensi mereka dapat dimaksimumkan sekali gus menyumbang secara optimum kepada pembangunan organisasi dan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Komitmen dua hala antara majikan dan pekerja penting untuk mewujudkan persekitaran kerja produktif, harmoni dan saling melengkapi.
  • Majikan perlu memastikan suara pekerja didengari dan memainkan peranan utama dalam kesejahteraan serta kejayaan kerjaya mereka.
  • Laksanakan kaji selidik dalaman serta sesi pertemuan dua hala untuk menilai kepuasan pekerja dan memperbaiki pengurusan kerjaya.

Naib Canselor dan Ketua Eksekutif IJN Universiti Kolej, Profesor Dr Durrishah Idrus berkata, pendekatan itu selari dengan tema Sambutan Hari Pekerja tahun ini, “Pekerja MADANI, Kesuma Bangsa”, yang mengangkat martabat golongan pekerja sebagai pemain utama pembangunan negara.

Menurut beliau, usaha tersebut juga bertepatan dengan aspirasi kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan tenaga kerja di negara ini.

“Pekerja perlu melakukan apa yang sepatutnya mereka lakukan untuk kesejahteraan dan kejayaan di tempat mereka bekerja.

“Dalam masa sama, majikan juga sama penting, malah kadangkala lebih penting untuk memastikan suara pekerja didengari,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM.

Beliau berkata, komitmen dua hala antara majikan dan pekerja amat penting dalam mewujudkan persekitaran kerja yang produktif, harmoni dan saling melengkapi.

Tambahnya, pelbagai pendekatan boleh dilaksanakan termasuk kaji selidik dalaman serta sesi pertemuan dua hala bagi menilai tahap kepuasan pekerja terhadap kerjaya dan layanan majikan.

“Ada pelbagai cara untuk melihat keadaan ini, antaranya melalui tinjauan terhadap perasaan pekerja sama ada mereka benar-benar berpuas hati dengan bagaimana majikan menguruskan kerjaya mereka.

“Pertemuan dua hala antara majikan dan pekerja juga penting walaupun tanpa kesatuan sekerja kerana melalui pendekatan itu, kita dapat melihat hasil yang lebih baik,” katanya.