Melaka sedia depani lonjakan 15,541 murid tahun satu sesi 2027

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman /BERNAMA

AYER KEROH, 29 April– Jabatan Pendidikan Negeri Melaka merangka strategi penyuraian murid dalam radius lima kilometer bagi memastikan kapasiti sekolah mampu menampung keseluruhan 15,541 murid Tahun Satu yang dijangka mendaftar bagi sesi persekolahan 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyuraian murid ke sekolah berhampiran yang masih mempunyai kekosongan untuk mengurangkan kepadatan sekolah.
  • Mengaktifkan semula dan menaik taraf bilik darjah terbiar serta memohon pembinaan bilik darjah baharu melalui kaedah IBS.
  • Sesi persekolahan dua sesi dianggap pilihan terakhir, dan kerajaan negeri memohon KPM menyalurkan guru baharu bagi mengimbangi nisbah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 2,473 orang merupakan murid berusia enam tahun yang memohon kemasukan awal secara sukarela atas permintaan ibu bapa.

Beliau menjelaskan, langkah penyuraian itu akan dilaksanakan bagi sekolah yang mempunyai kepadatan tinggi dengan menempatkan murid ke sekolah berhampiran yang masih mempunyai kekosongan.

“Selain penyuraian, kita juga akan mengaktifkan semula serta menaik taraf bilik darjah yang tidak digunakan sebelum ini untuk dijadikan kelas tambahan bagi menampung pertambahan murid.

“Kerajaan negeri juga akan mengemukakan permohonan pembinaan bilik darjah baharu melalui kaedah IBS (Sistem Binaan Berindustri) sebagai penyelesaian jangka panjang,” katanya kepada media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, di sini hari ini.

Rahmad turut menegaskan bahawa pelaksanaan sesi persekolahan dua sesi hanya akan dipertimbangkan sebagai pilihan terakhir sekiranya semua langkah pengukuhan prasarana tersebut masih tidak mencukupi.

Dalam masa sama, beliau berharap pihak KPM dapat menyalurkan kemasukan guru baharu ke negeri itu bagi mengimbangi nisbah guru dan murid yang semakin meningkat.