Inisiatif WTE dipergiat, sasar satu loji setiap negeri

Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Datuk Ir. Dr Mohd Azhar Abd Hamid/RTM

KUALA LUMPUR, 29 April -Pelaksanaan loji Waste-to-Energy (WTE) sebagai sumber baharu penjanaan elektrik negara terus dipergiat dengan sasaran satu loji WTE bagi setiap negeri.

RINGKASAN BERITA AI
  • 18 loji WTE yang dirancang mampu menjana sehingga 600 megawatt tenaga elektrik.
  • Melalui WTE, sisa pepejal diurus cekap dan ditukar menjadi tenaga alternatif setanding solar dan hidro.
  • WTE mengurangkan kebergantungan pada tapak pelupusan serta menjimatkan penggunaan kawasan.
  • Kerajaan menjamin piawaian alam sekitar ketat termasuk EIA, kawalan pelepasan udara dan penglibatan komuniti.

Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Datuk Ir. Dr Mohd Azhar Abd Hamid berkata, inisiatif itu selaras dengan dasar sifar sisa dan ekonomi kitaran yang sedang digerakkan kerajaan.

“Sisa pepejal merupakan salah satu sumber yang boleh dimanfaatkan secara keseluruhan 18 WTE yang bakal kita bina boleh menghasilkan sehingga 600 megawatt tenaga dan tenaga ini boleh disumbang balik kepada penggunaan masyarakat,” katanya kepada RTM.

Katanya, melalui WTE, sisa pepejal bukan sahaja diurus dengan lebih cekap, malah ditukar kepada sumber tenaga alternatif setanding solar dan hidro.

“Sekiranya kita terus bergantung dengan tapak pelupusan, kita memerlukan kawasan yang lebih besar jadi WTE merupakan solusi terbaik masa kini untuk mengurus sisa dan pada masa yang sama menjana tenaga elektrik untuk masa hadapan,” katanya lagi.

Pada masa sama, kerajaan memberi jaminan setiap projek WTE akan mematuhi piawaian alam sekitar yang ketat termasuk penilaian impak alam sekitar (EIA), kawalan pelepasan udara serta penglibatan komuniti setempat.

Loji itu juga akan dibangunkan berkonsepkan mesra alam dan selamat untuk masyarakat.

Secara keseluruhan, pembangunan WTE dilihat sebagai langkah strategik negara dalam menangani isu sisa pepejal sambil membuka sumber tenaga baharu yang lebih lestari menjelang 2040.