Kemenangan Piala Grasshopper 2026, tebus kekecewaan lalu – S. Sivasangari

Ini gelaran kedua musim ini dan ia memberi lonjakan keyakinan yang besar, menurut S. Sivasangari. Foto Facebook PSA Squash Tour

KUALA LUMPUR, 27 April – Pemain skuasy nombor satu negara S.Sivasangari menyifatkan kejayaan merangkul kejuaraan Piala Grasshopper 2026 di Zurich, Switzerland semalam sebagai kemenangan bermakna sekali gus menebus kekecewaannya di pentas final kejohanan itu tahun lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemenangan memberi kelegaan dan lonjakan keyakinan; gelaran kedua musim ini tambah semangat untuk kejohanan akan datang.
  • Menang perlawanan akhir 3-2 ke atas Satomi Watanabe, keputusan set: 15-13, 5-11, 5-11, 11-7, 11-8 dalam 62 minit.
  • Ketinggalan 1-2 namun mempamerkan ketahanan mental luar biasa, bangkit menawan dua set terakhir.
  • Kejayaan mengukuhkan dominasi pertemuan, rekod kini tujuh kemenangan daripada lapan perlawanan.

Pemain berusia 27 tahun itu berkata kemenangan tersebut memberi kelegaan serta keyakinan baharu kepada dirinya kerana ia merupakan gelaran keduanya musim ini, sekali gus memberikan suntikan semangat pada kejohanan akan datang.

“Saya sangat gembira dan lega kerana berjaya mengharunginya. Tahun lepas saya tewas di peringkat akhir dan tahun ini saya memenangi kejohanan ini.

“Ini gelaran kedua saya musim ini dan ia memberi lonjakan keyakinan yang besar,” katanya dalam video yang dikongsi oleh Persatuan Skuasy Profesional (PSA) di Facebook hari ini.

Pada aksi final semalam, Sivasangari sekali lagi membuktikan penguasaanya ke atas pemain Jepun, Satomi Watanabe, apabila mencatat kemenangan 3-2 (15-13, 5-11, 5-11, 11-7, 11-8) dalam perlawanan yang berlangsung selama 62 minit.

Walaupun memenangi set pertama, Sivasangari ketinggalan 1-2 selepas Watanabe meraih kemenangan dalam set kedua dan ketiga.

Namun, pemain kelahiran Kedah itu mempamerkan ketahanan mental luar biasa apabila bangkit untuk menguasai dua set terakhir sekali gus menjulang kejuaraan bertaraf emas dalam kalendar skuasy profesional itu.

Kejayaan ini mengukuhkan lagi dominasi Sivasangari ke atas pemain nombor tujuh dunia itu apabila rekod pertemuan memihak kepadanya dengan tujuh kemenangan daripada lapan perlawanan. – BERNAMA