Musim berakhir lebih awal buat Luqman – NSFC

Luqman Hakim disahkan mengalami patah bahu ketika NSFC beraksi menentang TFC pada Sabtu. Foto Facebook NSFC

SEREMBAN, 27 April – Penyerang kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin yang juga antara tonggak utama Negeri Sembilan FC (NSFC), terpaksa melupakan baki saingan musim ini selepas disahkan mengalami patah bahu ketika aksi Liga Super menentang Terengganu FC (TFC), kelmarin.

RINGKASAN BERITA AI
  • NSFC mengesahkan menerusi kenyataan Facebook bahawa Luqman perlu menjalani pembedahan dalam masa terdekat.
  • Beliau antara tonggak utama The Jangs: enam gol dan satu bantuan dalam 24 penampilan musim ini.
  • Luqman dikeluarkan pada separuh masa pertama di Stadium Sultan Mizan; ketua jurulatih sementara memasukkan N Javabilaarivin.

Perkembangan itu dimaklumkan NSFC menerusi satu kenyataan dalam hantaran di Facebook rasmi kelab tersebut.

NSFC mengesahkan pemain Harimau Malaya berkenaan perlu menjalani pembedahan dalam masa terdekat.

“Dukacita dimaklumkan bahawa Luqman Hakim disahkan mengalami kecederaan patah bahu susulan insiden dalam perlawanan menentang Terengganu FC pada Sabtu.

“Selepas pemeriksaan lanjut di hospital, beliau perlu menjalani pembedahan dan terpaksa melupakan baki saingan liga musim ini. Semoga cepat sembuh, Luqman!” menurut kenyataan kelab itu.

Luqman muncul antara tonggak utama skuad The Jangs apabila meledak enam gol serta satu bantuan jaringan dalam 24 penampilan Liga Malaysia musim ini.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Luqman terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama, sekali gus memaksa ketua jurulatih sementara K. Rajan membuat pertukaran dengan memasukkan N. Javabilaarivin.

NSFC mempamerkan aksi luar biasa mengikat Terengganu 2-2 dalam perlawanan itu.

NSFC dijadualkan akan berdepan Melaka FC pada 3 Mei dalam aksi Liga Super seterusnya.