Kane ketepi rekod peribadi, fokus buru kejuaraan Liga Juara-Juara bersama Bayern

Penyerang Bayern Munich, Harry Kane, meraikan jaringan ketiga pasukannya selepas Jamal Musiala menjaringkan gol ketika berdepan Mainz. Foto REUTERS

MUNICH, 27 April – Bintang Bayern Munich, Harry Kane, kini memburu trofi paling berprestij di Eropah selepas menjulang dua kejuaraan Bundesliga berturut-turut, sekali gus mengetepikan rekod peribadi demi satu misi lebih besar memburu gelaran Liga Juara-Juara Eropah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bayern bertemu juara bertahan PSG dalam separuh akhir Liga Juara-Juara, dengan perlawanan pertama berlangsung di Paris.
  • Kane kekal tajam musim ini, menjaringkan 53 gol dalam 45 perlawanan termasuk gol kemenangan di Madrid.
  • Kane kerap turun ke tengah untuk membantu bina serangan, menunjukkan peranan lebih daripada sekadar penamat.
  • Vincent Kompany digantung untuk perlawanan pertama; Aaron Danks akan menggantikan beliau di tepi padang.

Bayern bakal berdepan juara bertahan Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi separuh akhir Liga Juara-Juara, dengan perlawanan pertama berlangsung di Paris, pada Selasa.

Pasukan yang berjaya mara ke final dari saingan itu dilihat sebagai calon utama untuk menjulang trofi di Budapest Mei ini.

Musim lalu, Kane akhirnya menamatkan kemarau trofi apabila memenangi kejuaraan liga pertama dalam kariernya pada usia 31 tahun.

Musim ini, beliau menambah satu lagi gelaran Bundesliga, sekali gus membuktikan perpindahannya ke Bayern mula membuahkan hasil.

Walaupun sudah memiliki trofi, ketajaman Kane di depan gol tetap luar biasa.

Bekas penyerang Tottenham Hotspur itu sudah meledak 53 gol menerusi 45 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini, satu pencapaian yang menjadikannya pemain England paling prolifik di liga dalam tempoh hampir 100 tahun.

Namun yang lebih penting, jaringan Kane kali ini hadir pada saat-saat genting, ketika menentang Real Madrid di Madrid, gol jarak jauhnya muncul sebagai jaringan kemenangan.

Dalam aksi timbal balik, gol awal Kane membantu Bayern bangkit dan mengubah momentum perlawanan suku akhir yang hampir memihak kepada lawan.

Sebelum meninggalkan England, Kane hanya memerlukan 47 gol lagi untuk memintas rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Perdana Inggeris milik Alan Shearer.

Keputusan itu pernah dipersoalkan ramai, memandangkan beliau sudah begitu hampir mencipta sejarah.

Namun bagi Kane, keutamaan sebenar bukan lagi rekod individu.

Di Bayern, beliau dilihat lebih banyak membantu pasukan, bukan sekadar menunggu peluang di depan gol, malah kerap turun ke tengah untuk membantu membina serangan.

Ketika peluang memecahkan rekod Robert Lewandowski untuk jaringan terbanyak dalam satu musim Bundesliga semakin terbuka, Kane tetap menerima keputusan jurulatih Vincent Kompany yang merehatkannya dalam beberapa aksi liga.

Selepas Bayern menewaskan Borussia Dortmund pada Februari, Kane ketika itu berada dalam prestasi terbaik dengan 30 gol dalam 24 perlawanan.

Beliau dilihat berpeluang besar mengatasi rekod 41 gol Lewandowski.

Namun sejak itu, Kane hanya diturunkan dalam kesebelasan utama sekali sahaja dalam tujuh aksi liga terakhir.

Langkah itu diambil bagi memastikan beliau kekal cergas untuk saingan Eropah.

Selepas membantu Bayern bangkit daripada ketinggalan tiga gol sebelum menang 4-3 ke atas Mainz pada Sabtu, Kane menjelaskan keutamaannya dengan jelas.

“Sudah tentu sukar untuk kejar rekod itu, tetapi saya datang ke sini untuk memenangi Liga Juara-Juara dan Piala Jerman.

“Itulah keutamaan saya. Bila saya berada di atas padang, saya hanya mahu jaringkan gol dan bantu pasukan,” katanya.

Bayern dijangka menewaskan Mainz, namun cara mereka bangkit dalam babak kedua memperlihatkan semangat juang tinggi pasukan itu menjelang aksi penting menentang PSG.

Pengarah sukan Bayern, Christoph Freund, menyifatkan skuad itu sebagai istimewa.

“Pasukan ini memang luar biasa. Semangat dan mentaliti mereka sangat kuat.

“Ia memberi kami keyakinan besar untuk aksi menentang PSG,” katanya.

Kane pula mengakui PSG bukan lawan mudah.

“Mereka juara Eropah bertahan atas sebab tertentu.

“Mereka pasukan yang kuat, ada ramai pemain berkualiti dan dibimbing dengan baik.

“Perlawanan ini akan ditentukan oleh momen-momen penting dan kualiti,” katanya.

Bayern bagaimanapun akan turun tanpa jurulatih Vincent Kompany di tepi padang selepas beliau digantung untuk aksi pertama.

Tempatnya akan digalas pembantu jurulatih, Aaron Danks.

Namun Kane yakin Bayern tahu apa yang perlu dilakukan.

“Sudah tentu kami akan merinduinya kerana dia ketua kami.

“Tetapi semua pemain tahu peranan masing-masing, walaupun dia tiada di tepi padang,” katanya.