
LONDON, 27 April – Pelari Ethiopia, Tigst Assefa, memecahkan rekod dunianya sendiri dalam kategori wanita apabila menjuarai Maraton London, pada Ahad.
- Memintas Hellen Obiri dan Joyciline Jepkosgei, menamatkan perlumbaan dengan masa 2 jam 15 minit 41 saat.
- Bergembira dan bersyukur, menjadi juara Maraton London buat kali kedua.
- Walaupun terlepas peluang pingat emas Olimpik Paris 2024, beliau menambah satu lagi gelaran London dalam koleksi.
Atlet berusia 29 tahun itu memintas dua pelari Kenya, Hellen Obiri dan Joyciline Jepkosgei, di penghujung perlumbaan sebelum melintasi garisan penamat dengan catatan dua jam 15 minit 41 saat.
Catatan itu mengatasi rekod sebelumnya, 2:15:50, yang diciptanya di London tahun lalu.
Bercakap selepas perlumbaan, Assefa melahirkan rasa syukur atas kejayaannya dan mengakui gembira dapat muncul juara buat kali kedua di London.
“Saya amat bersyukur dan sangat teruja dapat menjadi juara Maraton London buat kali kedua. Saya benar-benar gembira,” katanya.
Assefa, yang terlepas peluang meraih pingat emas Olimpik di Paris 2024, turut meluahkan kegembiraan apabila berjaya menambah satu lagi pingat juara Maraton London dalam koleksinya.
Pelari Ethiopia itu kini tidak sabar untuk meraikan kemenangan bersama keluarga, khususnya ibunya.
“Ini adalah saat yang sangat membahagiakan buat ibu saya kerana beliau masih hidup dan dapat melihat anak perempuannya mencapai tahap ini. Saya sangat gembira dan berasa bertuah,” katanya dalam sidang emdia selepas perlumbaan tersebut.