
SAUDARA PENGARANG
- Matematik membina pemikiran logik dan penyelesaian masalah, bukan sekadar hafalan formula.
- Penguasaan matematik membuka laluan ke STEM dan kerjaya perubatan, membantu faham konsep sains.
- Amalkan minda berkembang dan ketahanan; lihat kesilapan sebagai peluang belajar, bukan kegagalan.
- Gunakan strategi latihan berfokus: soalan mencabar kelemahan, latihan berselang-seli dan berjarak; analisa kesilapan.
Setiap tahun menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), satu fenomena hampir pasti berlaku di bilik darjah seluruh negara iaitu apabila guru menyebut perkataan Matematik, sebahagian pelajar terus mengeluh panjang.
Bagi ramai remaja, nombor, formula dan graf sering dianggap sebagai subjek paling menakutkan dalam jadual waktu sekolah namun hakikatnya, matematik bukan sekadar mata pelajaran untuk lulus peperiksaan. Ia merupakan asas penting kepada cara manusia berfikir, membuat keputusan, serta memahami dunia sekeliling.
Bagi pelajar yang bakal menduduki SPM, memahami mengapa matematik penting dan bagaimana cara terbaik menguasainya boleh menjadi titik perubahan yang menentukan perjalanan akademik mereka selepas tamat persekolahan kelak.
Ramai pelajar melihat matematik sebagai himpunan formula yang perlu dihafal, tetapi pada hakikatnya tujuan sebenar pendidikan matematik adalah untuk membina cara berfikir yang tersusun dan logik.
Melalui latihan matematik, pelajar belajar menganalisis masalah secara sistematik, mengenal pasti maklumat penting, berfikir secara rasional serta diakhiri dengan membuat kesimpulan yang sah.
Kemahiran ini dikenali sebagai penaakulan logik dan deduktif yang merupakan aset sangat bernilai dalam pelbagai bidang kerjaya. Lebih penting lagi, matematik melatih pelajar menjadi penyelesai masalah dan bukannya sekadar penghafal formula serta langkah penyelasaian masalah matematik.
Dalam kehidupan sebenar, kebanyakan masalah tidak datang bersama formula yang jelas, sebaliknya kita perlu menggabungkan beberapa prinsip asas untuk mencari jalan penyelesaian yang menjadikan matematik satu latihan mental bagi membentuk pemikiran aras tinggi.
Matematik mengatur minda kita untuk menganalisa situasi, berfikir secara kritis dan rasional, dan seterusnya merancang strategi yang jelas sebelum bertindak membuat keputusan untuk menyelesaikan masalah dalam situasi kehidupan kita.
Di peringkat universiti, matematik memainkan peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar subjek sekolah kerana ia menjadi bahasa utama dalam banyak disiplin ilmu khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Selain bidang teknikal, penguasaan matematik lanjutan sebenarnya merupakan peramal yang kuat bagi kejayaan dalam kursus sains kesihatan seperti perubatan, fisioterapi, dan sains bioperubatan.
Kajian menunjukkan bahawa pelajar yang melengkapkan subjek matematik peringkat tinggi di sekolah menengah, terutamanya yang memfokuskan kepada kalkulus dan analisis statistik cenderung memperoleh Purata Nilai Gred Komulatif (GPA) yang jauh lebih baik pada tahun pertama dan mengekalkan kelebihan akademik tersebut sehingga tahun akhir.
Hal ini kerana kemahiran matematik membantu pelajar memahami unit sains teras yang kritikal seperti anatomi dan kimia dengan lebih mendalam.
Menariknya, matematik lanjutan dan dunia perubatan sebenarnya berkongsi struktur kognitif yang serupa. Kedua-dua bidang ini memerlukan kemampuan untuk mengenali corak, menaakul daripada prinsip teras, dan mengaplikasikan pengetahuan kepada situasi yang tidak dikenali, bukannya sekadar bergantung kepada hafalan semata-mata.
Proses ini mampu melatih minda menjadi lebih analitikal, di mana pemikiran menjadi lebih teratur dan strategik dalam menghadapi apa-apa situasi yang mendatang.
Konsep dalam matematik aras tinggi seperti had, terbitan, dan kamiran melatih pemikiran kritis tahap tinggi yang sangat diperlukan dalam kerjaya profesional kesihatan. Satu cabaran yang sering dibincangkan oleh pendidik ialah budaya pembelajaran yang terlalu bergantung kepada hafalan prosedur di sekolah di mana pelajar terbiasa menghafal langkah penyelesaian tanpa memahami konsep.
Namun, apabila mereka memasuki universiti, pendekatan ini tidak lagi mencukupi kerana kursus kejuruteraan mahupun perubatan yang memerlukan pelajar memahami mengapa sesuatu formula berfungsi.
Sikap pelajar juga memainkan peranan penting di mana kajian terhadap pelajar sekolah menengah menunjukkan bahawa mereka yang memupuk minda berkembang atau growth mindset menunjukkan sikap yang jauh lebih positif terhadap matematik.
Pelajar yang mempunyai minda ini tidak mudah berputus asa apabila melakukan kesilapan kerana melihatnya sebagai peluang untuk belajar dan bukanlah suatu kegagalan. Pelajar yang mempunyai ketahanan mental yang tinggi adalah terbukti lebih cekal dan berani dalam membuat kesilapan dalam matematik.
Setiap kali berjumpa dengan jalan buntu dalam menyelesaikan masalah matematik, pelajar mampu bangkit semula dan mencuba kaedah baru. Sikap inilah yang boleh menjamin kejayaan jangka masa panjang pelajar, di mana ketahanan mental ini sering menjadi faktor kritikal yang membezakan antara kejayaan atau kegagalan seseorang.
Kesilapan yang sering pelajar lakukan menjelang SPM adalah pelajar sering menghabiskan masa membuat latih tubi tanpa strategi yang jelas. Walau bagaimanapun, kajian dalam sains kognitif menunjukkan terdapat pendekatan yang jauh lebih berkesan.
Antaranya ialah latihan terancang yang memberi tumpuan kepada soalan mencabar kelemahan diri. Pelajar sebaiknya cuba menjawab soalan yang berada di atas aras pemahaman terkini supaya pembelajaran boleh berlaku semasa proses menjawab soalan.
Jika pelajar melakukan kesilapan, analisa terhadap soalan tersebut dan bagaimana teknik yang betul untuk menjawab adalah sangat penting untuk membantu pelajar memperkasakan kemahiran matematik.
Selain daripada itu, teknik latihan berselang-seli juga adalah teknik yang berkesan untuk melatih otak memilih strategi betul bagi masalah berbeza daripada topik yang berlainan. Latihan ini membolehkan pelajar bersedia untuk menggunakan sebarang formula tanpa bergantung kepada hafalan semata-mata.
Tambahan pula, latihan berjarak yang dilakukan dalam beberapa sesi dipisahkan oleh masa terbukti sangat membantu memperkukuhkan ingatan jangka panjang.
Dalam peperiksaan sebenar SPM, pemarkahan biasanya diselaraskan melalui lengkung gred kebangsaan, maka salah satu strategi yang penting adalah tidak meninggalkan ruangan kosong kepada sebarang soalan kerana cubaan menunjukkan jalan kira masih boleh memperoleh markah separa yang sangat berharga.
Sebagai kesimpulan, matematik sebenarnya bukan raksasa yang mustahil dikalahkan tetapi merupakan satu bahasa pemikiran yang memerlukan latihan, kesabaran dan strategi yang betul.
Apabila pelajar mula melihat matematik sebagai alat untuk memahami dunia dan bukannya sekadar subjek peperiksaan, mereka akan menukar ketakutan kepada keyakinan.
Dengan memupuk minda berkembang serta memahami peranan matematik dalam pengajian tinggi, pelajar SPM boleh membuka jalan yang lebih luas untuk masa depan mereka.
Akhirnya, matematik bukan sekadar kunci untuk lulus peperiksaan, ia adalah salah satu pintu utama yang membuka laluan ke universiti, kerjaya masa depan yang kompetitif, serta kemampuan berfikir secara matang dalam dunia yang semakin kompleks.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Nurhafizah Saidin
Pensyarah Matrikulasi
Ketua Jabatan Matematik
Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia