
SAUDARA PENGARANG
- Industri halal meluas meliputi makanan, pelancongan, kewangan, farmaseutikal, kosmetik; permintaan turut datang dari pengguna bukan Islam.
- Pensijilan halal oleh JAKIM dan penguatkuasaan standard penting sebagai langkah utama PKMS menembusi pasaran antarabangsa.
- PMKS menghadapi kekangan pendedahan, kekeliruan proses dan persepsi rumit, menuntut latihan, bimbingan teknikal dan sokongan pembiayaan.
- Kerajaan dan agensi seperti KUSKOP, HDC, SME Corp menyediakan inisiatif, bantuan pensijilan, pembangunan kapasiti dan akses pasaran.
Industri halal kini mencatat pertumbuhan kukuh di peringkat global dengan nilai pasaran diunjurkan mencecah kira-kira AS$5.92 trilion menjelang tahun 2030 yang menggambarkan pertumbuhan tahunan sekitar 10.08 peratus.
Perkembangan positif ini secara tidak langsung memberi perubahan besar dalam corak perdagangan dunia. Selain itu, ia turut memberi impak kepada trend pengguna yang semakin menitikberatkan aspek kebersihan, keselamatan dan jaminan kualiti dalam pemilihan produk dan perkhidmatan.
Produk Halal Dapat Permintaan Tinggi Pengguna Bukan Islam
Industri halal global sedang melalui proses transformasi yang signifikan bermula dengan pasaran makanan dan minuman halal, ia telah berkembang merangkumi ekosistem komprehensif bernilai trilion dolar seperti industri pelancongan halal, sektor kewangan, farmaseutikal dan kosmetik.
Pasarannya juga semakin berkembang didorong oleh populasi umat Islam dunia dianggarkan sekitar 1.8 hingga 2.18 bilion penduduk dan industri halal semakin disokong oleh penduduk bukan Islam yang mementingkan pengeluaran produk bersih dan pematuhan standard tinggi industri halal.
Secara rekodnya, sektor makanan dan minuman merupakan tunjang kepada industri halal global apabila menerima 17 peratus daripada perbelanjaan global untuk sektor ini. Bidang makanan halal ini dijangka berkembang kepada nilai pasaran AS$1.94 trilion menjelang 2028.
Manakala, permintaan untuk sijil halal bagi produk kecantikan dan penjagaan kesihatan menunjukkan peningkatan. Pasaran farmasuetikal halal bagi pasaran negara-negara Islam dijangka mencecah AS$555 bilion dengan pertumbuhan pasaran tahunan sebanyak 12 peratus atau bernilai AS$12 hingga 13 bilion.
Salah sektor yang juga menunjukkan perkembangan di peringkat global adalah bidang kewangan Islam yang mempunyai nilai pasaran kira-kira AS$4.94 bilion pada 2025. Perbankan Islam kekal sebagai peneraju pasaran dengan penguasaan 70 peratus daripada industri.
Sektor pelancongan halal pula diunjur berkembang menjadi pasaran bernilai AS$384 bilion menjelang tahun 2028, dengan fokus kepada penyediaan kemudahan beribadah, makanan dan minuman halal kepada pelancong dan ekosistem pelancongan yang mesra pelancong Islam.
Satu lagi bidang yang berkembang pesat adalah fesyen mesra Islam dengan nilai pasaran AS$327 bilion pada 2023 dan diunjur meningkat kepada AS$433 bilion menjelang 2028. Sektor media dan rekreasi turut dijangka meningkat kepada AS$337 bilion menjelang 2028 dengan nilai pasaran pada 2023 adalah sekitar AS$260 bilion.
Pada masa kini, produk halal bukan lagi terhad kepada keperluan pengguna Islam semata-mata tetapi turut mendapat permintaan dalam kalangan pengguna bukan Islam yang mementingkan aspek keselamatan produk. Situasi ini menjadikan industri halal semakin meluas dan diterima sebagai sebahagian daripada arus utama ekonomi global.
Seiring dengan perkembangan tersebut, rantaian bekalan industri halal turut berkembang pesat merentasi pelbagai saluran termasuk pasar raya antarabangsa serta platform digital e-dagang rentas sempadan. Selain itu, teknologi digital turut menyumbang kepada peningkatan kesedaran pengguna terhadap sumber bahan dan produk berasaskan halal.
Perkembangan ini secara tidak langsung membuka lebih banyak ruang pasaran kepada pengeluar dan usahawan untuk menembusi pasaran luar negara yang lebih kompetitif.
Umumnya, industri halal turut melibatkan sektor logistik serta perkhidmatan berkaitan rantaian bekalan. Kesemua sektor ini saling berkait dan membentuk satu ekosistem ekonomi antarabangsa yang semakin kukuh dan bersepadu.
Di Malaysia, industri halal terus mencatat prestasi memberangsangkan dan kekal sebagai antara penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara. Nilai pasaran halal Malaysia yang dianggarkan sekitar AS$113.3 bilion, mencerminkan potensi pertumbuhan serta keupayaan negara mengekalkan daya saing dalam industri ini.
Dari sudut perdagangan, eksport halal Malaysia turut menunjukkan peningkatan ketara daripada RM30 bilion pada tahun 2020 kepada RM61.79 bilion pada 2024. Peningkatan ini membuktikan penerimaan semakin meluas terhadap produk halal Malaysia di pasaran antarabangsa.
Sektor makanan dan minuman kekal sebagai penyumbang utama eksport halal negara, diikuti sektor bahan halal yang semakin penting dalam menyokong keseluruhan rantaian industri. Kedua-dua sektor ini terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara pemain utama industri halal global bukan sahaja dari sudut standard pensijilan halal.
Penyertaan Sektor PMKS Dalam Pasaran Halal Masih Boleh Dipertingkat
Dari perspektif yang lebih kritikal, walaupun potensi pasaran halal mencecah nilai trilion ringgit, penyertaan dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan masih belum mencapai tahap optimum.
Antara faktor berlakunya hal ini adalah kekurangan pendedahan terhadap proses permohonan sijil halal, kekeliruan sewaktu proses permohonan serta tanggapan bahawa pensijilan halal adalah rumit dan membebankan. Faktor-faktor ini mengekang hasrat usahawan untuk menceburi industri halal dan seterusnya membataskan peluang mereka dalam pasaran halal yang sedang berkembang pesat.
Selari dengan hasrat kerajaan memperkukuh industri halal, pelbagai inisiatif diperkenalkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan peruntukan sebanyak RM28.8 juta. Fokus diberikan kepada pembangunan usahawan, inovasi produk serta perluasan akses pasaran halal bagi meneruskan penguasaan Malaysia sebagai salah satu negara peneraju dalam industri halal antarabangsa.
Dalam masa sama, pelbagai program sokongan turut dilaksana bagi memperkukuh ekosistem halal negara seperti bantuan pematuhan pensijilan halal, program pembangunan kapasiti produk halal, program pembangunan inovasi dan teknologi halal, serta program pengantarabangsaan usahawan halal. Pendekatan ini bertujuan meningkatkan keupayaan PMKS untuk memenuhi standard halal secara lebih sistematik dan berdaya saing.
Pelaksanaan inisiatif ini turut disokong oleh agensi seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Halal Development Corporation (HDC) serta SME Corp Malaysia yang menyediakan latihan, bimbingan teknikal dan akses kepada pelbagai skim pembiayaan serta sokongan pembangunan usahawan.
Kerjasama anatara agensi ini memperkukuh ekosistem halal negara dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada akses pasaran tetapi juga kepada peningkatan kapasiti dan daya saing usahawan dalam mematuhi standard pensijilan halal secara berterusan.
Pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak tadbir urus halal negeri sama ada jabatan mahupun majlis agama Islam negeri kekal sebagai rujukan utama yang sah dan diiktiraf.
Proses permohonan halal kini disusun dengan secara lebih sistematik bagi memastikan pemohon dapat memahami keperluan serta mematuhi standard yang ditetapkan. Dalam usaha menggalakkan penyertaan lebih luas, struktur yuran pensijilan turut ditetapkan secara berperingkat mengikut kategori perniagaan.
Perusahaan mikro dikenakan sekitar RM100 setahun, diikuti perusahaan kecil RM400, perusahaan sederhana RM700 dan syarikat besar sekitar RM1,000 setahun. Pendekatan ini bertujuan memastikan keterangkuman dalam ekosistem halal tanpa membebankan pemain industri kecil.
Secara keseluruhannya, industri halal kini telah menjadi sebahagian penting dalam struktur ekonomi global yang semakin saling bergantung. Ia menghubungkan pengeluar, pengguna dan pasaran merentasi sempadan dalam satu rangkaian nilai yang terus berkembang.
Oleh itu, pemegang pensijilan halal dilihat berpotensi menembusi pasaran yang lebih luas bukan sahaja dalam negara, malah ke pasaran luar berikutan produk yang lebih berkualiti dan diyakini pengguna. Pensijilan halal merupakan langkah pertama penting dalam menentukan peluang PKMS tempatan menembusi pasaran halal antarabangsa.
Dengan sokongan dasar kerajaan, peningkatan permintaan global serta peluang pasaran yang semakin luas, industri halal dijangka kekal sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara selari dengan pertumbuhan populasi Islam dunia yang melepasi 2 bilion pada 2023 atau bersamaan 25 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi.
Permintaan tinggi terhadap barangan, perkhidmatan digital dan pengalaman berasaskan budaya dijangka meningkat menjelang 2030 apabila komposisi generasi muda Islam global mencecah lebih 540 juta orang.
Dalam landskap persaingan semakin sengit, keupayaan usahawan untuk memahami proses, mematuhi standard dan mendapatkan pensijilan halal akan menjadi faktor penentu dalam merebut peluang di pasaran halal dunia yang terus berkembang pesat.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Siti Syuhadah Mohamad
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Kerajaan
Universiti Utara Malaysia
E-mel: syuhadah@uum.edu.my