PBB beri amaran fenomena El Niño dijangka berlaku dalam beberapa bulan lagi

Foto AFP

NEW YORK, 2 Jun – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, memberi amaran bahawa fenomena El Niño dijangka berlaku dalam beberapa bulan akan datang dengan kebarangkalian sehingga 90 peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemas kini WMO menyokong ramalan mengenai kemunculan El Niño.
  • El Niño akan memburukkan lagi kesan pemanasan global dan memberi kesan lebih luas serta pantas merentas sempadan negara.
  • Guterres menggesa tindakan segera termasuk kurangkan bergantungan bahan api fosil, percepat peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui dan luaskan amaran awal.
  • El Niño membawa cuaca ekstrem: sesetengah kawasan panas dan kering, lain hujan lebat serta banjir; gabungan dengan pemanasan global meningkat kekerapan.

Beliau berkata ramalan itu berdasarkan kemas kini terbaharu yang dikeluarkan oleh World Meteorological Organization (WMO).

Menurut Guterres, fenomena El Niño akan memburukkan lagi kesan pemanasan global yang sedang berlaku di seluruh dunia dan kesan fenomena itu dijangka lebih teruk, melibatkan kawasan yang lebih luas dan merentasi sempadan negara dengan lebih cepat.

Beliau turut menggesa tindakan segera diambil bagi menangani perubahan iklim yang semakin membimbangkan.

Antara langkah yang dicadangkan ialah mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil, mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui serta memperluaskan sistem amaran awal untuk membantu komuniti yang berisiko tinggi.

Fenomena El Niño biasanya menyebabkan perubahan cuaca ketara dengan sesetengah kawasan boleh mengalami cuaca lebih panas dan kering, manakala kawasan lain berdepan hujan lebat serta banjir.

Pakar iklim sebelum ini memberi amaran bahawa gabungan fenomena El Niño dan pemanasan global berpotensi meningkatkan suhu dunia ke paras yang lebih tinggi serta menyebabkan kejadian cuaca ekstrem berlaku dengan lebih kerap. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.