Di sebalik ibadah korban, integriti halal semakin berdepan tekanan

Di sebalik ibadah korban, integriti halal semakin berdepan tekanan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Kecekapan petugas penyembelihan lemah menjejaskan integriti halal, kebajikan haiwan dan keselamatan awam.
  • Integriti halal meluas kepada kebersihan, keselamatan makanan, pengurusan sisa dan rantaian sejuk, bukan hanya teknik penyembelihan.
  • Perlu tadbir urus terstruktur: pentauliahan berasaskan kecekapan, kerjasama agensi dan transformasi digital untuk pengurusan korban lebih teratur.
  • Pembaharuan perlu disepadukan dengan pembangunan kapasiti berterusan; budaya pembelajaran sepanjang hayat bagi semua pihak berkepentingan.

Saban tahun, kita dapat menyaksikan semakin banyak wang ringgit yang dibelanjakan dan haiwan yang dikorbankan setiap kali musim perayaan Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Korban.

Ibadah korban kekal menjadi salah satu asas amalan Islam yang utama di dalam negara yang melambangkan pengabdian, pengorbanan dan tanggungjawab sosial.

Namun, di sebalik tuntutan agama dan kepentingan rohani, satu hakikat yang perlu kita terima pada hari ini bahawa realiti operasi semakin meningkat, iaitu sistem yang menyokong pelaksanaan korban semakin tertekan.

Apatah lagi dalam zaman ledakan media sosial yang semakin dominan dan mudah dicapai oleh pelbagai lapisan masyarakat, semakin banyak gambar dan video yang dikongsikan melalui telefon mudah alih masing-masing dengan pantas dan meluas.

Ada yang ingin berkongsikan kegembiraan melakukan ibadah tersebut, dan ada pula yang berasa tidak selesa dengan perkongsian yang diberikan.

Seiring dengan peningkatan penyertaan korban, cabaran yang berulang masih terus disiarkan dan dikongsikan.

Misalnya, amalan penyembelihan yang tidak konsisten seperti ketidaksempurnaan sembelihan, haiwan yang gagal dikawal sehingga mati sehinggalah kepada kegagalan penyelarasan keselamatan awam, apatah lagi yang membawa kematian orang ramai.

Isu-isu yang didedahkan ini tidak seharusnya dilihat hanya sebagai permasalahan bermusim. Sebaliknya, pendedahan ini membawa kepada keperluan yang semakin kritikal dan tidak lagi boleh dipandang ringan.

Iaitu menilai semula bagaimanakah pengurusan korban dalam ekosistem halal moden yang semakin berkembang dan kompleks.

Apabila Kecekapan Menjadi Isu Integriti Halal

Salah satu kebimbangan yang signikan dalam realiti semasa ialah berkaitan dengan kecekapan dan kesiapsiagaan petugas penyembelihan. Tidak dapat dinafikan, keperluan penyembelihan Islam adalah jelas, tetapi kualiti pelaksanaan sering berbeza antara reality lokasi.

Kesukaran dalam mengendalikan ternakan yang besar, teknik pengekangan yang tidak betul dan prosedur penyembelihan yang tidak konsisten kadangkala mengganggu kelancaran operasi dan menimbulkan kebimbangan mengenai pematuhan syariah.

Isu ini menjadi lebih kritikal apabila semakin banyak aktiviti korban pada hari ini yang melibatkan jumlah ternakan yang tinggi sangat bergantung pada sukarelawan dengan persediaan teknikal yang terhad.

Latihan yang tidak mencukupi bukan sahaja menjejaskan kecekapan tetapi juga boleh menjejaskan kebajikan haiwan dan keselamatan awam.

Integriti halal bukan hanya terhad kepada kejayaan penyembelih memutuskan saluran-saluran dengan sempurna, tetapi juga perlu dilihat pada tahap kawalan haiwan sebelum dan semasa disembelih.

Halal yang Semakin Berkembang

Dalam pendekatan kontemporari, integriti halal melangkaui tindakan penyembelihan itu sendiri. Malah, ia juga merangkumi kebersihan, keselamatan makanan, pengurusan sisa dan tanggungjawab etika.

Jika diteliti sehingga hari ini, masih ada sesetengah aktiviti korban berlaku dalam persekitaran yang bersifar adhoc atau sementara, tanpa sistem saliran yang mencukupi, amalan sanitasi yang lemah dan pengendalian selepas penyembelihan yang tidak cekap.

Dalam sesetengah kes, amalan mencuci bahagian perut dan usus dengan membuang najis dan kotoran di dalamnya di sungai secara terbuka masih diamalkan.

Selain itu, kawalan suhu yang tidak mencukupi dalam iklim tropika dan pemprosesan yang tertangguh mendedahkan kepada kemerosotan kualiti daging segar dan berisiko mendapat pencemaran.

Jika halal difahami secara holistik yang merangkumi kualit, kebersihan dan keselamatan makanan, maka pengurusan korban perlu turut sama berevolusi untuk memenuhi jangkaan ini.

Menaik Taraf Sistem Tadbir Urus dalam Malaysia MADANI

Penyelesaian yang dikemukakan bukanlah untuk mengurangkan aktiviti korban tetapi keperluan untuk memperkukuhkan cara aktiviti tersebut diuruskan.

Malaysia memerlukan model tadbir urus korban yang lebih berstruktur yang menggabungkan pematuhan agama dengan kecemerlangan operasi.

Pentauliahan berasaskan kecekapan untuk petugas penyembelihan harus diperkenalkan dan diseragamkan di seluruh negara,

Ia melalui kerjasama yang lebih kukuh antara pihak berkuasa halal di jabatan agama, jabatan perkhidmatan veterinar dan penyedia latihan halal yang diiktiraf.

Setakat ini, hanya penyembelih korban yang perlu mengikuti kursus yang dianjurkan dan masih terhad kepada negeri-negeri tertentu melalui Jabatan Agama Islam Negeri.

Pada masa yang sama, transformasi digital perlu diperluas penerokaan dan dimanfaatkan secara optimum untuk memodenkan pengurusan korban.

Pendaftaran peserta berasaskan kod QR, sesi penyembelihan berjadual dan sistem pengedaran daging yang telus dapat mengurangkan ketidakcekapan dengan ketara.

Pelaburan dalam hab penyembelihan yang ditetapkan dalam zon atau daerah tertentu, dengan dilengkapi kemudahan sanitasi dan sokongan rantaian sejuk juga akan membantu meningkatkan konsistensi kualiti dan keselamatan daging.

Bahan Yang Hilang dalam Pembaharuan Korban

Pembaharuan dalam pengurusan korban ini tidak boleh hanya bergantung dengan teknologi semata-mata kerana perlu disinergikan dengan ilmu pengetahuan.

Integriti halal yang mampan juga bergantung kepada pembangunan keupayaan berterusan dalam kalangan semua pihak berkepentingan, termasuk jawatankuasa masjid, pengendali penyembelihan, sukarelawan dan masyarakat umum.

Pemahaman fiqh korban sahaja tidak lagi memadai dalam persekitaran hari ini.

Justeru, budaya pembelajaran sepanjang hayat diperlukan untuk melengkapkan pihak berkepentingan dengan kecekapan terkini dalam jaminan halal, keselamatan makanan, kebajikan haiwan, pengurusan alam sekitar dan tadbir urus digital.

Daripada Ibadah kepada Impak Lestari

Pengukuhan integriti halal dalam ibadah korban bukanlah tentang mengubah tradisi, tetapi tentang menambah baik cara pengamalan masyarakat moden dan semakin kompleks.

Amalan terbaik dalam korban seperti penyembelihan yang cekap, langkah kebersihan dan keselamatan makanan yang betul, pengedaran daging yang teratur, pengendalian haiwan yang beretika, tanggungjawab alam sekitar dan mengoptimum teknologi digital—mesti menjadi standard dan bukan lagi pilihan.

Apabila diuruskan secara sistematik, korban bukan sahaja mencerminkan ketaatan kepada agama tetapi juga cerminan profesionalisme, akauntabiliti dan tanggungjawab sosial.

Bahkan, amalan terbaik ini selaras dengan agenda global Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), seperti kebersihan, sanitasi yang betul dan amalan pengendalian makanan yang diperkukuh (Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik), pembangunan kecekapan berterusan dan pembelajaran sepanjang hayat (Pendidikan Berkualiti).

Amalan lain termasuk pengurusan haiwan yang beretika dan pelupusan sisa yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) dan kerjasama antara institusi agama, agensi veterinar, pihak berkuasa tempatan dan komuniti (Perkongsian untuk Matlamat).

Tuntas, korban tidak lagi seharusnya dilihat hanya sebagai ritual keagamaan tahunan, tetapi sebagai peluang untuk memupuk ekosistem halal yang lebih beretika, lestari dan berasaskan pengetahuan.

Apabila dipandu oleh ihsan, amanah dan pembelajaran berterusan, ibadah korban boleh berfungsi sebagai model kemampanan berasaskan iman yang memberi manfaat kepada masyarakat semasa dan generasi akan datang.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Ts Mohd Fadhli Ab Rahman
Pengarah, Halal Advisory & Research Institute Selangor (HARIS)
Merangkap Pensyarah, Jabatan Pengurusan dan Perniagaan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor (UIS)
E-mel: mohdfadhli@uis.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.