
KUALA LUMPUR, 21 April – Satu sindiket pengedaran dadah sekitar Lembah Klang tumpas menerusi Op Empis dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan nilai rampasan dan sitaan mencecah RM14.15 juta.
- 19 individu berusia 24 hingga 48 tahun ditahan; 12 lelaki tempatan, lima wanita tempatan dan dua wanita warga China.
- Dirampas 31.8 kg ketamin, 4.2 kg erimin 5, 0.89 kg ekstasi dan 6.5 kg MDMA; nilai anggaran RM3.1 juta.
- Stor simpanan dan pusat pemprosesan ditemui di sebuah apartmen Taman Wahyu serta sebuah rumah di Kepong.
- Sitaan bernilai RM11.05 juta termasuk 18 kenderaan mewah (Rolls-Royce, Porsche, Mercedes-AMG), barang kemas, jongkong emas, jam mewah dan tunai anggaran RM4.9 juta.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan, dalam operasi yang dijalankan pada Khamis lalu, seramai 19 individu berusia antara 24 hingga 48 tahun ditahan, terdiri daripada 12 lelaki tempatan, lima wanita tempatan dan dua wanita warga China.
Menurut beliau, hasil beberapa siri serbuan, polis berjaya membongkar stor simpanan serta lokasi memproses dadah di sebuah apartmen di Taman Wahyu dan sebuah rumah di Kepong.
“Pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai jenis dadah termasuk 31.8 kilogram ketamin, 4.2 kilogram erimin 5, 0.89 kilogram pil ekstasi dan 6.5 kilogram serbuk MDMA yang dianggarkan bernilai RM3.1 juta.” katanya.
Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan mula aktif sejak awal tahun ini dengan menjadikan unit apartmen sebagai pusat operasi sebelum bekalan diedarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang.
Tambah beliau, setiap ahli sindiket mempunyai peranan tersendiri termasuk suspek ke-12 yang dikenal pasti sebagai ketua sindiket, manakala individu lain bertindak sebagai pembantu, penjaga stor dan penghantar.
“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Daripada jumlah itu, tiga suspek didapati positif dadah, manakala lima lagi mempunyai rekod jenayah lampau.”
Selain itu, tujuh suspek turut dikenakan tindakan bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, sementara lapan lagi dibebaskan dengan jaminan polis.
Dalam operasi sama, polis turut menyita pelbagai aset bernilai RM11.05 juta mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988.
Antara yang disita ialah 18 kenderaan termasuk tiga kereta mewah iaitu Rolls-Royce Cullinan Black Badge, Porsche Taycan 4S dan Mercedes-AMG GLA35.
Turut dirampas, 27 jenis barang kemas seberat 1.66 kilogram, tiga jongkong emas, lapan jam tangan mewah, sebuah beg tangan berjenama dan sebuah komputer riba.
Polis turut merampas wang tunai pelbagai mata wang dianggarkan bernilai RM4.9 juta termasuk RM400,000 dalam mata wang asing.
Rampasan itu melibatkan wang tunai tempatan RM4.5 juta serta mata wang antarabangsa seperti dolar Amerika Syarikat, pound sterling, euro, dolar Hong Kong, yen Jepun, won Korea, dong Vietnam, rupiah Indonesia, peso Filipina, baht Thailand dan yuan China.