Tunai tanggungjawab penuh integriti, jawatan digalas bukan keistimewaan – KSN

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 23 April Lebih dua dekad Institut Integriti Malaysia (IIM) ditubuhkan ke arah mentransformasikan budaya integriti dan tatakelola berkesan di peringkat akar umbi hingga ke pimpinan tertinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Integriti mesti diterjemahkan kepada tindakan harian setiap individu, bukan sekadar prinsip.
  • Setiap jawatan adalah amanah dan tanggungjawab besar, bukan keistimewaan.
  • Integriti, nilai etika dan tadbir urus baik perlu menjadi asas pentadbiran untuk memelihara kepercayaan rakyat.
  • Integriti membentuk peribadi dan kepimpinan unggul; tanpa integriti seseorang kelihatan hidup tetapi kosong daripada nilai dan prinsip.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata selaras peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah 2025 mencatat skor 52 daripada 100 dan berada di kedudukan ke-54 dunia, meningkat berbanding skor 50 pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini wajar dihargai sebagai petanda positif bahawa reformasi institusi, penguatkuasaan serta komitmen kerajaan mula membuahkan hasil dan mendapat pengiktirafan antarabangsa,” tambahnya.

Tegasnya, integriti bukan sekadar prinsip tetapi perlu diterjemahkan dalam tindakan harian setiap individu.

“Setiap amanah yang dipikul perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Setiap jawatan yang dipegang bukanlah satu keistimewaan.

Sebaliknya merupakan tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh kejujuran dan integriti,” katanya ketika Program Bual Bicara Integriti sempena Ulang Tahun ke-22 IIM di Menara IIM di sini.

Menurut beliau, integriti perlu menjadi asas dalam setiap aspek pentadbiran di samping disertai nilai etika dan tadbir urus yang baik bagi memastikan kepercayaan rakyat terus terpelihara.

“Integriti yang dipegang mestilah menjunjung tinggi nilai-nilai murni, pinsip agama serta etika yang luhur.

Tan Sri Shamsul Azri turut mengingatkan bahawa integriti merupakan asas utama dalam membentuk peribadi serta kepimpinan yang unggul.

“Integriti adalah asas utama dalam membentuk peribadi dan kepimpinan yang unggul. Tanpa integriti, seseorang itu adalah ibarat jasad tanpa roh. Kelihatan hidup tetapi kosong daripada nilai, prinsip dan makna,” katanya.

Pada program sama, sesi Podcast Integriti: Bikin Serupa Cakap turut berlangsung dibarisi Felo Penyelidik Utama, Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Anis Yusal Yusoff dan bekas atlet boling kebangsaan, Syaidatul’ Afifah Badrul Hamidi.

Podcast berkenaan dikemudikan Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail.