Kerjasama semua pihak bantu kanak-kanak pelarian dapat akses pendidikan

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 23 April – Usaha memastikan semua kanak-kanak di Malaysia, termasuk pelarian mendapat akses kepada pendidikan formal memerlukan kerjasama menyeluruh daripada pelbagai agensi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendidikan adalah hak semua, tanpa mengira latar belakang.
  • Tanggungjawab bukan hanya Kementerian Pendidikan; inisiatif perlu melibatkan semua agensi.
  • MKN dan KPM memberikan panduan serta sokongan berterusan kepada sekolah bagi uruskan pendidikan kanak-kanak pelarian.
  • Pendekatan bersepadu diharap membuka lebih banyak peluang pendidikan dan mengelakkan kanak-kanak tercicir.

Bukannya bergantung kepada Kementerian Pendidikan (KPM) semata-mata.

Perkara itu ditegaskan Menteri berkenaan, Fadhlina Sidek yang menekankan akses kepada pendidikan adalah hak untuk semua, tanpa mengira latar belakang.

“Pendidikan, kita sangat yakin ia adalah untuk semua dan kita melalui MKN (Majlis Keselamatan Negara) sentiasa diberikan panduan bagaimana untuk menguruskan soal pendidikan anak-anak ini, begitu juga di pihak kita, sekolah-sekolah yang kita bagi sokongan.

“Jadi ini merupakan inisiatif semua pihak, bukan KPM sahaja dan saya harap kita akan dapat beri ruang kepada kanak-kanak ini melalui semua agensi yang melihat isu ini secara khusus,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Perpustakaan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan yang menyebut 58,000 kanak-kanak pelarian dan pemohon suaka di Malaysia tidak mendapat akses kepada sistem pendidikan formal.

Menurut Fadhlina, pelbagai pendekatan sedang dilaksanakan termasuk memberikan sokongan kepada sekolah serta panduan berterusan melalui mekanisme sedia ada, bagi memastikan kebajikan dan akses pendidikan kanak-kanak terus terjamin.

KPM berharap pendekatan bersepadu ini mampu membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada golongan terjejas, selaras dengan aspirasi memastikan tiada kanak-kanak tercicir daripada sistem pendidikan negara.