Tiada bukti radiasi PPUM sebabkan kluster kanser

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 23 April – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada bukti teknikal yang menyokong dakwaan bahawa pendedahan radiasi di fasiliti Unit Perubatan Nuklear, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang menyebabkan kejadian kanser dalam kalangan petugas.

RINGKASAN BERITA AI
  • BKRP jalankan siasatan menyeluruh menilai keselamatan radiasi dan pematuhan mengikut Akta 304.
  • Keselamatan pesakit, pekerja dan orang awam jadi keutamaan dengan pemantauan dan audit pematuhan berkala.
  • Orang ramai dinasihatkan tidak buat spekulasi; KKM komited berkongsi maklumat tepat berasaskan bukti teknikal.

Menurut KKM, siasatan menyeluruh telah dijalankan menerusi Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan (BKRP) bagi menilai tahap keselamatan radiasi serta pematuhan terhadap keperluan perundangan di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304).

“Hasil siasatan mendapati tahap keselamatan radiasi di fasiliti berkenaan adalah selamat, terkawal serta tiada isu pematuhan keselamatan sinaran yang kritikal,” menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan keselamatan pesakit, pekerja kesihatan dan orang awam sentiasa menjadi keutamaan, dengan pemantauan serta audit pematuhan dilaksanakan secara berkala.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kebimbangan awam.

KKM turut menegaskan komitmen untuk terus menyalurkan maklumat tepat berasaskan bukti teknikal.