Suara emas RTM, Mariamah Tijo selamat dikebumikan

Imam Masjid Darul Ehsan SS15, memimpin bacaan talkin dan doa sejurus pengebumian bekas penyampai radio RTM, Mariamah Tijo di Tanah Perkuburan Islam USJ 22/ BERNAMA

SUBANG JAYA, 23 April – Dunia penyiaran tanah air kehilangan sebutir permata apabila bekas penyampai radio veteran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mariamah Tijo, 76, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kira-kira pukul 5.00 pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 pada pukul 12.30 tengah hari, dihadiri keluarga, rakan taulan dan tokoh seni.
  • Kesihatan merosot selepas diserang strok empat tahun lalu, tidak lagi mampu bercakap dan terlantar sejak kira-kira enam bulan.
  • Memulakan kerjaya di RTM sejak 1972, terkenal menerusi segmen Sebutlah Dengan Betul dan Nada Gurindam.
  • Dianggap pakar bahasa dan penyiar serba boleh, menjadi rujukan rakan sekerja dalam sebutan, ejaan dan penulisan skrip.

Jenazah allahyarham yang dikenali sebagai pemilik ‘suara emas’ itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 pada pukul 12.30 tengah hari tadi.

Pengebumian dihadiri oleh ahli keluarga, rakan taulan, serta tokoh-tokoh seni dan penyiaran bagi memberikan penghormatan terakhir.

Menurut anak sulungnya, Muhammad Hafiez Othman, 53, kesihatan ibunya mula merosot secara perlahan sejak diserang strok empat tahun lalu, sehingga menyebabkan allahyarham tidak lagi mampu bercakap dan terlantar sepenuhnya sejak enam bulan lepas.

“Ibu dibawa ke hospital pada malam Selasa lalu selepas mengalami sesak nafas dan batuk berpanjangan. Beliau kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan rapi sebelum keadaan kesihatannya terus merosot pagi tadi,” katanya.

Terdahulu, jenazah telah dibawa dari PPUM ke Masjid Darul Ehsan, SS15 Subang Jaya pada pukul 10.15 pagi untuk dimandikan dan disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Mariamah memulakan kerjaya di RTM pada tahun 1972 dan cukup dikenali menerusi segmen ikonik seperti Sebutlah Dengan Betul dan Nada Gurindam.

Kecemerlangan beliau dalam seni suara dan bahasa turut mendapat perhatian apabila beliau pernah menerima sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA pada Mac 2024.

Mengimbau kepakaran allahyarham, bekas Pengurus Radio Klasik, Datuk Chuari Selamat menjelaskan bahawa allahyarham ialah seorang tokoh penyiaran yang serba boleh. Menurutnya, selain fokus kepada pembacaan berita, Mariamah juga sangat kreatif dalam penghasilan skrip drama, puisi, serta rancangan berbentuk majalah.

“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau bukan sahaja memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pembacaan berita, malah merupakan individu kreatif yang mahir menulis skrip drama, puisi, serta rancangan berbentuk majalah. Beliau sememangnya sangat pakar dalam bidang tersebut,” ujar Datuk Chuari Selamat.

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik), Datuk Adilah Shek Omar pula menyifatkan allahyarham sebagai pakar bahasa yang menjadi rujukan rakan sekerja suatu masa dahulu.

“Suaranya memang sangat baik. Bagi saya, beliau bukan sekadar penyampai yang hebat, malah penguasaan bahasanya juga cukup tinggi. Kami sentiasa menaruh harapan kepada beliau kerana rakan-rakan penyampai yang lain pasti akan merujuk kepadanya tentang sebutan dan ejaan yang betul memandangkan beliau adalah seorang pakar bahasa,” kata Datuk Adilah.

Allahyarham Mariamah meninggalkan tujuh orang cahaya mata yang selama ini bergilir-gilir menjaganya sepanjang tempoh beliau uzur. Pemergian beliau disifatkan sebagai hilangnya satu rujukan penting dalam seni sebutan dan penyiaran radio klasik di Malaysia.