
KUALA LUMPUR, 23 April – Operasi pembenihan awan (OPA) di Johor semalam menunjukkan hasil positif apabila hujan antara lima hingga 40 milimeter (mm) direkodkan.
- Operasi dibawa oleh Jabatan Meteorologi Malaysia bersama Tentera Udara Diraja Malaysia untuk meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan.
- Siri ketiga menggunakan pesawat C130 Hercules yang menyasarkan beberapa empangan dan kawasan termasuk Seluyut, Lok Heng, Layang, Pulai dan Lebam.
- OPA kali ini dikategorikan berjaya walaupun beberapa lokasi tidak dapat dilaksanakan dan pemantauan atmosfera akan diteruskan untuk operasi seterusnya.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, operasi itu dilaksanakan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan.
“Analisis radar cuaca menunjukkan hujan mula dikesan seawal 5 petang. Walaupun Empangan Machap tidak dapat dilakukan operasi kerana ketiadaan awan yang sesuai, secara keseluruhannya OPA kali ini dikategorikan sebagai berjaya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, operasi siri ketiga tahun ini menggunakan pesawat C130- Hercules TUDM yang menyasarkan beberapa kawasan termasuk Empangan Seluyut, Gugusan Lok Heng, Upper Layang, Lower Layang, Pulai serta Lebam.
Antara lokasi yang merekodkan taburan hujan signifikan ialah Bukit Layang-layang (28.9 mm), Johor Bahru (18.8 mm), Felda Bukit Batu (5.1 mm) dan Labis (3.4 mm).
Datuk Seri Arthur berkata, pemantauan keadaan atmosfera akan diteruskan bagi menentukan keperluan operasi seterusnya.