
ALOR GAJAH, 23 April– Kementerian Digital bercadang memperluas Program Kepimpinan Digital (EDP) ke seluruh negeri bagi memudahkan akses latihan kepada peserta.
- Program membuka minda peserta kepada teknologi sedia ada untuk diperkasakan dalam pelbagai sektor, termasuk pendidikan, menyokong transformasi digital negara.
- Setiap peserta menjalani latihan tiga bulan dengan kos RM25,000 seorang, ditanggung oleh Kementerian Digital.
- Program memberi tumpuan kepada penggunaan kecerdasan buatan dan analisis data untuk meningkatkan prestasi kerja.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata ketika ini program berkenaan hanya ditawarkan di Kuala Lumpur, sekali gus mengehadkan penyertaan dari negeri lain.
“Program ini bertujuan membuka minda peserta mengenai teknologi sedia ada yang boleh dimanfaatkan dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, sekali gus menyokong arus transformasi digital negara,” katanya.
Beliau berkata setiap peserta akan menjalani latihan selama tiga bulan dengan kos RM25,000 seorang yang dibiayai kementerian.
Menurutnya, program itu memberi tumpuan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan analisis data bagi meningkatkan prestasi dalam bidang pekerjaan.
Gobind berkata demikian selepas menghadiri Program Simposium Kepimpinan Digital Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Malaysia Ke Arah Reformasi Pendidikan MADANI 2026 di sini.
Simposium tiga hari bermula pada Rabu itu disertai kira-kira 470 guru besar dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil seluruh negara.