
SHAH ALAM, 23 April – Majoriti kes keganasan rumah tangga direkodkan di Selangor membabitkan golongan wanita.
- Kebanyakan mangsa keganasan rumah tangga adalah wanita berdasarkan kes dilapor antara 2023 hingga 2025.
- Kerajaan Negeri melaksanakan Kempen Hentikan Keganasan Berasaskan Gender sejak 2021; kempen bersifat universal, tidak memberi fokus hanya kepada wanita.
- Selangor tidak akan bina rumah perlindungan baru; terus beri geran kepada rumah perlindungan NGO dan kukuhkan usaha bersepadu.
Exco Kebajikan Masyarakat Negeri, Anfaal Saari berkata daripada 530 kes yang dilaporkan bagi tempoh 2023 hingga 2025, 445 merupakan wanita, manakala selebihnya lelaki.
Pada tahun 2023, sebanyak 160 kes dilaporkan melibatkan 21 lelaki dan 139 wanita, meningkat kepada 168 kes pada 2024 meliputi 19 lelaki dan 149 wanita.
“Tahun lalu, sejumlah 175 kes dilapor membabitkan 18 lelaki dan 157 wanita,” katanya ketika menjawab pertanyaan ADUN Bukit Lanjan, Pua Pei Ling pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini.
Usaha terus dipergiat bagi mendidik dan memberi kesedaran agar mangsa tampil mendapatkan bantuan serta membuat laporan.
“Kerajaan Negeri melalui Wanita Berdaya Selangor telah melaksanakan Kempen Hentikan Keganasan Berasaskan Gender (GBV) sejak tahun 2021. Kempen tersebut bersifat universal, tidak hanya berfokus kepada wanita malah menekankan bahawa lelaki dan kanak-kanak juga boleh menjadi mangsa keganasan.
Bahan kempen yang disediakan tidak memberi fokus terhadap wanita sahaja malah bersifat umum bagi membuang stigma hanya wanita sahaja yang menjadi mangsa keganasan domestik,” ujarnya.
Tahun ini, GBV akan diadakan secara lebih menyeluruh melalui 5 siri advokasi di Jelajah Wanita Selangor bermula Jun hingga November 2026.
“Siri advokasi ini akan turut membawa agensi yang bertanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan sokongan kepada mangsa keganasan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan Negeri dan PDRM,” tambah beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Selangor tidak bercadang membina rumah perlindungan baharu, sebaliknya meneruskan sokongan melalui geran kepada rumah perlindungan sedia ada yang dikendalikan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
“Usaha bersepadu akan terus diperkukuh bagi menangani isu keganasan rumah tangga secara lebih berkesan,” katanya.