Konflik Asia Barat: AS, Israel punca ketidakstabilan – Araqchi

Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi bersama-sama dengan utusan khas Korea Selatan, Chang Byung-ha / REUTERS

TEHRAN, 23 April – Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi menegaskan bahawa tanggungjawab terhadap sebarang kesan buruk akibat peperangan yang berlaku kini terletak sepenuhnya di bahu “penceroboh”, merujuk kepada Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

RINGKASAN BERITA AI
  • Araqchi bertemu utusan khas Korea Selatan Chang Byung-ha, menuntut negara bersikap jelas dan tegas mengecam serangan serta jenayah kejam terhadap rakyat Iran.
  • Iran merampas dua kapal di Selat Hormuz, mengukuhkan kawalan ke atas laluan strategik itu.
  • Status gencatan senjata kekal kabur; tiada tanda rundingan damai disambung semula walaupun Trump mengumumkan lanjutan sementara.

Kenyataan itu dikeluarkan menerusi hantaran di Telegram kementerian luar Iran susulan pertemuan Araqchi dengan utusan khas Korea Selatan, Chang Byung-ha disini.

Dalam pertemuan tersebut, Araqchi menekankan keperluan bagi setiap negara untuk mengambil pendirian yang jelas dan tegas dalam mengecam serangan serta “jenayah kejam” terhadap rakyat Iran.

Hantaran itu turut menyebut bahawa Araqchi menyifatkan pencerobohan ketenteraan oleh AS dan rejim Zionis sebagai punca utama kepada ketidakstabilan di rantau Teluk Parsi serta Selat Hormuz.

Situasi bertambah tegang apabila Iran bertindak merampas dua buah kapal di Selat Hormuz pada Rabu, sekali gus mengukuhkan kawalannya di laluan strategik itu.

Tindakan berkenaan dilakukan sehari selepas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pembatalan serangan buat tempoh yang tidak dinyatakan.

Namun sehingga kini masih belum ada tanda-tanda rundingan damai akan disambung semula.

Sementara itu, status gencatan senjata yang bermula dua minggu lalu dan sepatutnya berakhir awal minggu ini masih kekal kabur.

Meskipun sebelum ini mengancam untuk memperhebatkan serangan, Trump melakukan pusingan u pada Selasa dengan mengumumkan secara unilateral bahawa AS akan melanjutkan tempoh gencatan senjata sehingga cadangan damai daripada Iran dibincangkan bagi menamatkan perang yang kini memasuki bulan kedua. – REUTERS