
KUALA LUMPUR, 2 Jun – Penggemar aktiviti rekreasi luar diingatkan supaya menitikberatkan aspek persediaan rapi sebelum memasuki hutan bagi mengurangkan risiko yang tidak diingini.
- Bawa kelengkapan asas penuh: air, makanan, alat pemotong, tali, sumber api, wisel dan alat navigasi.
- Gunakan khidmat pemandu atau malim gunung jika kawasan sukar, jangan bergantung semata pada aplikasi navigasi.
- Dapatkan permit masuk untuk membantu operasi penyelamat dan urusan perlindungan insurans jika berlaku kecemasan.
- Amalkan sistem buddy dan maklumkan butiran perjalanan kepada keluarga termasuk lokasi, tempoh dan anggaran waktu pulang.
Jurulatih Kanan 1 Pasukan Pendekar Rimba, Abdul Rahim Ahmad Damanhuri berkata, antara aspek utama yang perlu diberi perhatian serius oleh setiap individu ialah memastikan kelengkapan asas dibawa secukupnya sepanjang aktiviti berkenaan.
Beliau menjelaskan, kelengkapan penting yang wajib ada di dalam beg sandang termasuklah bekalan air, makanan, alat pemotong, tali, sumber api, serta peralatan komunikasi penting seperti wisel dan alat navigasi.
“Selain itu, sekiranya kawasan berkenaan memerlukan pemandu arah atau malim gunung, gunakan khidmat mereka. Sering kali berlaku kes pendaki pergi secara sembrono hanya berpandukan aplikasi navigasi tanpa mahir seluk-beluk tempat itu, inilah yang mendatangkan risiko sesat atau tersasar.
“Satu lagi perkara penting ialah mendapatkan permit masuk. Sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini, rekod permit ini akan sangat membantu agensi penyelamat, selain berkaitan dengan urusan perlindungan insurans,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam program ‘Selamat Pagi Malaysia’ terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Angkasapuri, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rahim turut menekankan kepentingan mengamalkan sistem ‘buddy’ atau bergerak secara berkumpulan berbanding melakukan aktiviti merentas hutan secara bersendirian.
Katanya, pergerakan dalam kumpulan membolehkan tindakan atau bantuan awal diambil dengan segera sekiranya mana-mana ahli mengalami kecederaan atau berdepan detik kecemasan.
Pada masa yang sama, beliau mengingatkan para pendaki supaya sentiasa memaklumkan butiran perancangan perjalanan kepada ahli keluarga terdekat termasuk lokasi tepat yang dituju, tempoh aktiviti, serta anggaran waktu pulang bagi memudahkan usaha mengesan sekiranya berlaku luar jangka.