
KUALA LUMPUR, 2 Jun – Ancaman media sosial terhadap kanak-kanak tidak lagi boleh dilihat sebagai isu teknologi semata-mata, sebaliknya turut memberi kesan kepada perkembangan emosi dan sosial generasi muda.
- Kanak-kanak bawah 16 masih dalam fasa perkembangan kawalan emosi dan penilaian risiko.
- Budaya kejar 'likes', tekanan sosial dan algoritma media sosial menjejaskan tumpuan dan mempengaruhi tingkah laku remaja.
- Tanpa intervensi, generasi mungkin celik digital tetapi lemah daya tahan emosi, mudah cemas dan sukar terima penolakan.
- ONSA 2025 hadkan pendaftaran bawah 16; perlu disokong literasi digital, penglibatan ibu bapa, sekolah dan tanggungjawab platform.
Pensyarah Kanan Bidang Psikologi Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Sathish Rao Appalanaidu berkata kanak-kanak dan remaja bawah 16 tahun masih berada dalam fasa perkembangan penting, terutama daripada segi kawalan emosi, pertimbangan dan keupayaan menilai risiko.
Menurut beliau, pada usia itu mereka lebih mudah dipengaruhi tekanan sosial, budaya mengejar ‘likes’ dan pengikut, selain terdedah kepada algoritma media sosial yang direka untuk menarik perhatian pengguna dalam tempoh yang lama.
“Jika tiada intervensi dilakukan sekarang, dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang kita mungkin berhadapan dengan generasi yang celik digital tetapi lemah dari sudut daya tahan emosi dan sosial,” katanya.
Beliau berkata keadaan itu boleh menyebabkan lebih ramai remaja berdepan masalah ketagihan digital, sukar mengawal emosi, mudah cemas dan tidak mampu menerima penolakan atau kritikan di media sosial.
Sementara itu, Pensyarah dan Pengasas Program Hati Buddy, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Jamalsafri Saibon menyifatkan ancaman terhadap kanak-kanak di media sosial sebagai isu semasa yang semakin membimbangkan.
Katanya, selain buli siber dan penipuan dalam talian, golongan itu turut berdepan risiko eksploitasi seksual, pendedahan kepada kandungan tidak sesuai serta tekanan emosi yang boleh menjejaskan perkembangan mereka.
Beliau berpandangan langkah mengehadkan pendaftaran akaun media sosial mengikut umur merupakan usaha pencegahan awal yang wajar dilaksanakan, namun tidak boleh bergantung kepada satu pendekatan sahaja.
“Teknologi bukan musuh sebenar. Cabarannya adalah memastikan kanak-kanak mempunyai tahap kematangan yang mencukupi sebelum berdepan risiko dunia digital,” jelasnya.
Menurut beliau, pendidikan literasi digital, penglibatan ibu bapa, peranan sekolah serta tanggungjawab platform media sosial perlu bergerak seiring bagi memastikan keselamatan kanak-kanak dalam talian dapat diperkukuhkan.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), kanak-kanak berusia bawah 16 tahun tidak lagi dibenarkan mendaftar akaun media sosial baharu sebagai langkah memperkukuh perlindungan mereka dalam persekitaran digital.