
KOTA TINGGI, 2 Jun – Pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) oleh Norway boleh menjejaskan keyakinan terhadap kontrak pertahanan antara negara.
- Pembatalan lesen eksport NSM oleh Norway menjejaskan keyakinan terhadap pematuhan kontrak pertahanan antarabangsa.
- Kementerian menuntut Norway membayar semula kos NSM yang gagal diserahkan supaya Malaysia dapat beli sistem alternatif.
- Kerajaan meneliti alternatif termasuk memperoleh sistem peluru berpandu lain, contohnya dari Amerika Syarikat untuk TLDM.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata isu berkenaan bukan sekadar melibatkan kegagalan pembekalan aset pertahanan, malah menimbulkan persoalan sama ada kontrak yang dimeterai akan terus dihormati oleh semua pihak.
“Tapi pokoknya di sini bukan sahaja soal kegagalan untuk membuat bekalan itu, tetapi persoalannya ialah dalam kontrak-kontrak pertahanan, bolehkah kita mempunyai jaminan dan keyakinan bahawa kontrak-kontrak tersebut akan dihormati oleh semua negara.
“Jika tidak, ia akan membawa kesan kepada sebuah dunia yang perkara berkaitan peraturan, undang-undang, kontrak dan perjanjian tidak lagi dihormati,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata Kementerian Pertahanan meminta Kerajaan Norway mencari jalan untuk membayar semula kos NSM yang gagal diterima Malaysia susulan pembatalan lesen eksport berkenaan.
Menurut beliau, antara cadangan yang dikemukakan ialah pembayaran semula dibuat menerusi bayaran pendahuluan bagi membolehkan Malaysia memperoleh sistem peluru berpandu alternatif untuk memperkukuh pertahanan negara.
Kerajaan kini turut meneliti beberapa alternatif termasuk memperoleh sistem peluru berpandu dari negara lain seperti Amerika Syarikat bagi kegunaan aset kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).