Rukun Negara bukan sekadar dihafal, tetapi panduan hidup

Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM Prof Dr Sivamurugan Pandian/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Rukun Negara perlu dihayati dan dijadikan panduan hidup dalam membentuk jati diri rakyat serta memperkukuh perpaduan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rukun Negara mesti dihayati sebagai perjanjian sosial, bukan sekadar dihafal atau dilafaz, tetapi dijadikan panduan hidup.
  • Lima prinsip Rukun Negara menjadi tunjang pembentukan karakter dan keperibadian warga negara bertanggungjawab.
  • Kebebasan perlu disertai adab dan tanggungjawab supaya tidak menjejaskan keharmonian masyarakat.
  • Kesetiaan kepada negara diterjemah melalui penghayatan asas kenegaraan, fakta, adab dan keberanian mempertahankan institusi.

Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim merupakan satu peringatan penting agar seluruh rakyat berbangga menjadi warganegara Malaysia.

Menurut beliau, rakyat juga perlu memahami dan menghayati falsafah kebangsaan itu yang menjadi asas pembinaan negara bangsa serta panduan dalam mengekalkan keamanan, keharmonian dan kestabilan negara.

“Peringatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim adalah bertujuan untuk memastikan bahawa setiap warganegara yang bangga menjadi warganegara ini menggarap dan juga memberikan maksud dan makna kepada dokumen falsafah kebangsaan kita, Rukun Negara, yang harus dilihat sebagai perjanjian sosial teragung.

Ia bukan sekadar untuk dihafal, ia adalah untuk dihayati, bukan sekadar untuk dilafaz, tetapi dijadikan sebagai panduan.”

Beliau menjelaskan, lima prinsip Rukun Negara merupakan tunjang penting dalam membentuk karakter dan keperibadian warganegara yang bertanggungjawab.

Menurut Prof. Datuk Dr. Sivamurugan, rakyat berbilang agama dan etnik perlu terus memupuk nilai saling memahami, menghormati dan menerima antara satu sama lain, selaras dengan semangat Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas keharmonian serta perpaduan negara.

Pada masa sama, kebebasan yang dinikmati rakyat perlu disertai adab dan rasa tanggungjawab agar tidak disalahgunakan sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat.

Tegasnya, kesetiaan kepada negara perlu diterjemahkan melalui penghayatan asas kenegaraan dan tanggungjawab sebagai rakyat.

“Yang penting adalah bagaimana kesetiaan kepada negara ini penting yang harus difahami dengan akal dan juga hati dan kita juga harus memahami asas kenegaraan kita bagaimana patriotisme sejati, bukan untuk menjatuhkan mana-mana institusi tetapi mempertahankannya dengan fakta, adab dan keberanian untuk membela negara ini.”

Beliau percaya setiap rakyat berperanan menghayati nilai Rukun Negara demi memastikan Malaysia terus aman, harmoni dan bersatu padu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.