Unjuran pertumbuhan ASEAN+3 kekal 4.0 peratus, inflasi disemak naik

Pertumbuhan ekonomi ASEAN+3 kekal berdaya tahan disokong permintaan domestik serta eksport teknologi

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Ekonomi ASEAN+3 diunjur kekal tumbuh pada kadar 4.0 peratus, tahun ini, namun kadar inflasi dijangka meningkat kepada 1.8 peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inflasi disemak naik susulan konflik Asia Barat, meningkatkan tekanan harga tenaga, komoditi dan kos logistik.
  • Tanda awal gangguan bekalan pada input perindustrian seperti helium, sulfur dan baja direkodkan walaupun pasaran masih terkawal.
  • Pertumbuhan kekal berdaya tahan disokong permintaan domestik kukuh serta eksport teknologi, namun risiko luaran meningkat.
  • Negara pengimport tenaga dan yang terdedah kepada gangguan input dijangka berdepan cabaran lebih besar; dasar fleksibel diperlukan.

Menurut Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), jangkaan inflasi yang disemak naik berbanding unjuran 1.4 peratus sebelum ini, didorong kesan berpanjangan konflik di Asia Barat.

”Konflik yang masuk bulan keempat lebih lama daripada jangkaan awal, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap harga tenaga, komoditi dan kos logistik di peringkat global, manakala bekalan produk petroleum semakin terhad.

”Terdapat tanda-tanda awal gangguan dalam input perindustrian, termasuk helium, sulfur dan baja,walaupun ketidakstabilan pasaran secara menyeluruh masih dapat dielakkan setakat ini,” jelas AMRO dalam kemas kini interim prospek ekonomi serantau yang diterbitkan hari ini.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonominya, Dong He memaklumkan pertumbuhan ekonomi ASEAN+3 kekal berdaya tahan disokong permintaan domestik yang kukuh serta eksport teknologi.

“Tanda-tanda awal tekanan semakin ketara. Kos tenaga dan pengangkutan yang meningkat mula menyumbang kepada inflasi dan menambah tekanan terhadap rantaian bekalan industri. Jika konflik berterusan, kesannya menjadi lebih meluas dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi serantau,” katanya.

Walaupun prestasi ekonomi pada suku pertama tahun ini mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik daripada jangkaan, AMRO mengakui impak sebenar masih belum dirasai sepenuhnya.

Negara-negara yang bergantung kepada import tenaga serta ekonomi yang terdedah kepada gangguan bekalan input industri dijangka berdepan cabaran yang lebih besar, selain ketidaktentuan berkaitan dasar tarif yang masih berlarutan.

”Dalam senario yang lebih serius, sekiranya harga minyak mentah purata meningkat kepada AS$125 setong berbanding andaian asas AS$95 setong dan gangguan bekalan terus meruncing, pertumbuhan ASEAN+3 berpotensi menyusut kepada 2.5 peratus manakala kadar inflasi boleh melonjak kepada 3.5 peratus.

“Berdasarkan faktor-faktor itu, pendekatan dasar yang fleksibel dan responsif amat perlu bagi menangani ketidaktentuan semasa.

”Langkah sokongan jangka pendek perlu bersifat bersasar dan sementara, manakala usaha jangka panjang harus memberi tumpuan kepada pengukuhan keselamatan tenaga, daya tahan rantaian bekalan dan integrasi ekonomi serantau,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.