Struktur organisasi ATM diperkukuh, seiring pemodenan aset pertahanan

Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 8 Ogos – Kementerian Pertahanan (MINDEF) secara konsisten memperjuangkan cadangan penambahbaikan struktur organisasi, kemajuan kerjaya dan elaun warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan sistem pengurusan bakat ketenteraan berkembang seiring pemodenan aset dan teknologi pertahanan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • MINDEF kemukakan cadangan terperinci mengenai struktur, kemajuan kerjaya dan elaun kepada kerajaan dan JPA untuk pertimbangan lanjut.
  • Penyesuaian struktur diperlukan supaya pangkat, gred dan tanggungjawab sepadan, mengatasi halangan kemajuan kerjaya akibat kekurangan kekosongan jawatan.
  • Elaun khusus disarankan bagi anggota yang menghadiri kursus ketenteraan jangka panjang sebagai pengiktirafan keunikan profesion ketenteraan.
  • Promosi kekal berdasarkan merit; kerajaan bersetuju mempercepat pemudahan kenaikan pangkat ATM dan PDRM, perincian dijangka diumumkan 30 Ogos.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, cadangan perincian berhubung tiga komponen utama itu telah dikemukakan kepada pihak kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pertimbangan lanjut.

Beliau berkata penyesuaian struktur perjawatan adalah penting berikutan terdapat pegawai memenuhi syarat kompetensi dan prestasi namun kemajuan kerjaya terhalang akibat keterbatasan kekosongan jawatan.

“Kita (MINDEF) mahu memastikan terdapat kesepadanan yang munasabah antara pangkat, gred, tahap tanggungjawab dan peranan strategik yang dipikul oleh warga ATM,” katanya pada sidang media selepas Majlis Kesyukuran Barisan Nasional Pasir Gudang di sini.

Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, usaha memperkasakan pengurusan bakat dan perjawatan itu diangkat MINDEF sejak pelancaran Kertas Putih Pertahanan pada 2022, manakala cadangan penambahbaikan berhubung Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dikemukakan kepada JPA sejak Mac tahun lepas.

Mengulas mengenai aspek perkhidmatan, beliau memaklumkan, keunikan profesion ketenteraan yang memerlukan anggota menghadiri kursus jangka panjang melebihi sembilan bulan hingga dua tahun wajar diberikan pertimbangan elaun khusus.

Bagaimanapun, sebarang kriteria pemudahan kenaikan pangkat dalam perkhidmatan tentera kekal bersandarkan prinsip meritokrasi dan bukannya dilaksanakan secara automatik.

“Ia mesti bersandarkan kepada soal prestasi, kompetensi, integriti dan juga keperluan organisasi melalui proses pertimbangan yang telah ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, penyesuaian struktur organisasi dan sistem pengurusan bakat perlu dilaksanakan secara pantas seiring pemodenan aset pertahanan.

Usaha diperjuangkan MINDEF itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, mengenai kerajaan secara prinsipnya bersetuju supaya proses kenaikan pangkat melibatkan warga ATM dan Polis Diraja Malaysia, dipermudah serta dipercepat selari dengan skim perkhidmatan awam lain.

Perdana Menteri berkata perincian mengenai kaedah baharu itu dijangka diumumkan sewaktu sambutan Ambang Merdeka di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Ogos.

Pada masa sama, kerajaan turut memberi jaminan berikhtiar meningkatkan peruntukan kepada MINDEF untuk sektor pertahanan negara menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkasakan kesiapsiagaan ATM selain memastikan kebajikan anggota keselamatan terus terbela.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.