Malaysia mara ke separuh akhir Hyundai ASEAN Cup

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Jaringan tunggal Pavithran Gunalan membantu Malaysia menewaskan Filipina 1-0 sekali gus mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Hyundai ASEAN Cup 2026, malam ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pavithran menanduk masuk hantaran Wan Kuzain pada minit ke-16 untuk membuka tirai jaringan.
  • 12,734 penonton hadir di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
  • Percubaan Muhammad Faris Danish Mohd Asrul hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-40.
  • Dua pemain Filipina, Javier Mariona dan Gavin Muens, dilayangkan kad kuning pada minit 20 dan 65.

Beraksi di hadapan 12,734 penonton di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Pavithran muncul wira skuad negara apabila menanduk masuk hantaran Wan Kuzain pada minit ke-16 untuk membuka tirai jaringan.

Malaysia hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-40 menerusi rembatan Muhammad Faris Danish Mohd Asrul, namun kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Filipina meningkatkan tekanan bagi mencari gol penyamaan dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-74 menerusi Pocholo Bugas, namun percubaan berkenaan gagal menemui sasaran.

Pavithran sekali lagi berpeluang mencetak gol kedua peribadinya pada minit ke-85, namun tendangannya tinggi dan tersasar.

Dua pemain Filipina, Javier Mariona dan Gavin Muens masing-masing dilayangkan kad kuning pada minit ke-20 dan ke-65.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan Kumpulan B dengan kemenangan dan mara ke separuh akhir Hyundai ASEAN Cup 2026 bersama Thailand.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.