Pelabur asing disaran bekerjasama dengan industri tempatan – Johari

Foto RTM

SHAH ALAM, 9 Ogos – Pelaburan asing yang memasuki Malaysia perlu bersifat saling melengkapi dengan industri tempatan dan membawa teknologi baharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menilai ekosistem perniagaan, jenis perniagaan, sumber bahan mentah dan aktiviti sebelum memproses lesen pelaburan.
  • Perbincangan dengan persatuan industri bagi menilai kesan pelaburan terhadap pemain tempatan dan memastikan ia melengkapi perniagaan sedia ada.
  • Fokus kepada sektor berkekuatan, membangunkan ekosistem industri kompetitif global dan melindungi kepentingan perniagaan serta kestabilan pelaburan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pendekatan itu bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh ekonomi negara, di samping membantu meningkatkan keupayaan serta daya saing syarikat tempatan.

Menurut beliau, dalam memproses pelaburan baharu, kerajaan akan mengkaji ekosistem perniagaan berkaitan bagi memastikan pelaburan berkenaan melengkapi pemain tempatan.

“Sebab itu apabila kita memproses lesen, kita akan melihat jenis perniagaan yang dijalankan, dari mana sumber bahan mentah diperoleh dan apa aktiviti yang mahu dilaksanakan.

“Kita juga akan berbincang dengan persatuan industri untuk melihat sama ada pelaburan itu akan memberi kesan kepada mereka atau melengkapi perniagaan sedia ada,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan ACCCIM di Shah Alam.

Tambahnya, inisiatif tersebut bagi memastikan syarikat Malaysia terus meningkatkan keupayaan daripada aktiviti perdagangan kepada pembuatan dan seterusnya berkembang sebagai pengeksport.

Dalam usaha memperkukuh daya saing itu, Malaysia juga perlu memberi tumpuan kepada sektor yang mempunyai kekuatan sedia ada serta membangunkan ekosistem industri yang mampu bersaing di peringkat global.

Pada masa sama, Malaysia akan terus berhubung secara konstruktif dengan rakan dagang utama bagi melindungi kepentingan perniagaan negara dan mengekalkan kestabilan persekitaran pelaburan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.